
LAWAS: Empat lelaki berjaya ditangkap atas kesalahan penyalahgunaan dadah dalam operasi berterusan membanteras jenayah dadah di Lawas.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan dalam satu kenyataan memberitahu lebih kurang 1.00 petang semalam bertempat di Lawas, sepasukan polis telah menahan tiga lelaki kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Pemeriksaan badan tidak menjumpai barang yang menyalahi undang-undang.
Walau bagaimanapun, hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Ketiga-tiga suspek yang berusia 63, 44, dan 41 tahun masing-masing mempunyai empat kesalahan lampau berkaitan dadah.
Sementara itu, dalam operasi berasingan jam lebih kurang 2.15 petang, bertempat di tepi lampu isyarat Jalan Merapok Lawas, sepasukan polis telah menahan seorang suspek dalam keadaan mencurigakan yang sedang menaiki motosikal.
Suspek cuba melarikan diri semasa tangkapan, namun akhirnya berjaya ditahan.
Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Suspek yang berusia 46 tahun didapati mempunyai tiga kesalahan lampau berkaitan dadah.
Oleh Adeng Edrus