
KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung insiden pembakaran mercun ketika perhimpunan ‘Tangkap Azam Baki’ di hadapan Kompleks SOGO di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sazalee Adam berkata, siasatan kes itu masih dijalankan, bagaimanapun kertas siasatan berkaitan empat lelaki itu telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan pertuduhan.
“Kesemua suspek telah diberi jamin polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 25 April lepas, selepas perhimpunan selesai Sazalee dilaporkan berkata akan memanggil penganjur serta peserta perhimpunan berkenaan bagi membantu siasatan insiden letupan mercun yang mencetuskan kekecohan di lokasi kejadian.
Beliau berkata pada permulaan perhimpunan itu terdapat sedikit kekecohan melibatkan pembakaran mercun, namun tiada kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 bagi mengenal pasti punca kejadian serta individu yang bertanggungjawab,” katanya. – Bernama