
BAU: Empat lelaki cedera, dua daripadanya parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Serikin berhampiran Kampung Bogeg, awal pagi tadi.
Menurut Komander Operasi, PBK II Pathi Ahmad, insiden dilaporkan berlaku sekitar 12.15 tengah malam dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau tiba di lokasi pada 12.26 pagi.

“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna hitam dan sebuah Toyota Hilux berwarna kelabu.
“Setibanya di lokasi, didapati dua mangsa yang menaiki Myvi telah dikeluarkan oleh orang awam, manakala seorang lagi masih berada di tempat duduk pemandu. Pemandu Hilux pula berjaya keluar dengan sendiri.
“Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang masih tersepit dan menyerahkannya kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut, manakala anggota lain menjalankan kerja-kerja pembersihan jalan,” katanya dalam satu kenyatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dikeluarkan, hari ini.
Tambah beliau, operasi dikawal sepenuhnya pada 1.12 pagi dan tamat 10 minit kemudian setelah memastikan keadaan di lokasi selamat.
“Operasi disertai lima anggota dengan kekuatan satu jentera FRT dan satu unit EMRS.
“Talian telefon dan sistem komunikasi Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) dilaporkan kurang memuaskan semasa operasi dijalankan,” jelasnya.