JEMORENG: Empat kediaman di kawasan Jemoreng menerima kerja baik pulih menerusi Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) bagi menangani kerosakan dan memastikan rumah lebih selamat untuk didiami.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, kerja penambahbaikan dilaksanakan mengikut keperluan setiap kediaman penerima.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi projek PPRMS di kawasan Jemoreng bagi meninjau hasil kerja yang telah siap dilaksanakan, pada Isnin.
Antara kerja yang dilaksanakan termasuk penukaran bumbung, pembaikan dan penggantian dinding yang rosak, pembaikan struktur rumah serta kerja penyelenggaraan lain.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng berkata, kerja baik pulih berkenaan penting bagi mengurangkan risiko yang boleh menjejaskan keselamatan penghuni, selain menyediakan keadaan kediaman yang lebih selesa.

“Golongan berpendapatan rendah antara yang memerlukan sokongan bagi memastikan keadaan kediaman mereka kekal sesuai dan selamat untuk keluarga.
“Saya berharap lebih ramai rakyat yang layak dapat menerima manfaat PPRMS, khususnya mereka yang memerlukan bantuan untuk membaiki kediaman,” jelasnya.
Mengulas lanjut, pelaksanaan program berkenaan turut mencerminkan keutamaan kerajaan Sarawak dalam menangani keperluan asas rakyat serta meningkatkan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah.





