
Orang terkaya Afrika, Aliko Dangote dari Nigeria, dengan nilai kekayaan bersih AS$23.3 bilion. Foto AFP
MOSCOW: Kekayaan empat hartawan terkaya di Afrika melebihi jumlah kekayaan separuh daripada populasi benua itu, menurut organisasi antikemiskinan Oxfam pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Hari ini, hanya empat hartawan terkaya di Afrika memiliki kekayaan berjumlah AS$57.4 bilion — melebihi daripada jumlah kekayaan 750 juta orang, atau separuh daripada populasi benua itu,” anggar Oxfam.
Kini terdapat 23 hartawan bergelar bilionair di Afrika, dengan semua jumlah kekayaan mereka meningkat sebanyak 56 peratus dalam tempoh lima tahun lepas, mencecah AS$112.6 bilion.
Organisasi yang berpangkalan di United Kingdom itu turut menyatakan yang Afrika mencatat jurang kekayaan jantina paling besar di dunia, dengan lelaki Afrika memiliki tiga kali ganda lebih kaya berbanding wanita.
Empat bilionair terkaya Afrika ialah Aliko Dangote dari Nigeria, dengan nilai kekayaan bersih AS$23.3 bilion, Johann Rupert dan Nicky Oppenheimer dari Afrika Selatan, masing-masing dengan kekayaan bersih AS$14.2 bilion dan AS$10.2 bilion serta Nassef Sawiris dari Mesir dengan kekayaan bersih AS$9.4 bilion. — BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI