Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Empat individu didakwa atas kes dadah berbahaya di Sibu
  • MAHKAMAH

Empat individu didakwa atas kes dadah berbahaya di Sibu

Utusan Sarawak 5 hours ago
DIDAKWA…Dua suspek lelaki dibawa keluar dari Mahkamah Majistret setelah selesai prosiding hari ini.

SIBU: Dua lelaki dan dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dan dua pertuduhan memiliki dadah berbahaya, termasuk syabu, pil ekstasi dan pil kuda, pada 3 September lepas.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh ketika prosiding kes di hadapan Majistret Romario Jonoi.

Mahkamah menetapkan 3 Disember ini untuk sebutan lanjut kes sementara menunggu laporan kimia kes dan keempat-empat tertuduh diperintah ditahan reman lanjut di Penjara Pusat Sibu.

Bagi pertuduhan pertama, dua tertuduh didakwa bersama mengedar 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 14,372.78 gram di sebuah rumah di Lorong Ulu Sungai merah 31A2 pada 3 September 2025, sekitar 11.10 pagi.

DIDAKWA….Dua suspek wanita diiringi keluar setelah dihadapkan di Mahkamah Majistret di Sibu, hari ini.

Untuk pertuduhan ini, mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua mereka turut didakwa memiliki 126.84 gram Nimetazepam dan 149.70 gram Ketamine pada tarikh, masa dan tempat yang sama, satu kesalahan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Dalam pada itu, tertuduh turut berhadapan dengan satu pertuduhan mengedar 219.20 gram MDMA di sebuah rumah di Lorong 6C, Jalan Lilin pada 3 September 2025, sekitar 10.00 pagi.

Untuk pertuduhan ini, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(A) ADB 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2), akta sama.

Sementara itu, dua lagi tertuduh, didakwa bersama mengedar 2,168.74 gram Methamphetamine di sebuah kenderaan di hadapan rumah di Lorong Ulu Sungai Merah 31A2 pada 3 September 2025, sekitar 11.30 pagi.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut laporan media sebelum ini, pihak polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sini pada 3 September lepas, dengan rampasan dadah bernilai RM479,506.12 dan sitaan harta bernilai RM387,534.20.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak berkata, terdahulu sekitar 10.00 pagi hari berkenaan, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun ditangkap hasil maklumat risikan di hadapan sebuah rumah di Jalan Lilin, Sibu.

Dengan berpandukan suspek tersebut katanya, polis telah merampas 100 biji pil disyaki dadah ekstasi di rumah tersebut dan turut memberkas seorang wanita tempatan berusia 34 tahun.

Katanya, polis kemudian pergi ke sebuah rumah di Lorong Ulu Sungai Merah, Sibu juga berpandukan suspek dan seterusnya merampas dadah disyaki MDMA, Nimetazepam dan Ketamine.

“Sejurus kemudian, polis telah menangkap seorang lagi lelaki tempatan berusia 34 tahun yang sedang menunggang motosikal dan pemboncengnya seorang wanita tempatan berusia 27 tahun, sekali gus turut merampas dadah disyaki syabu seberat 2,168.74 gram,” katanya pada sidang media di Dewan Serba Guna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu.

Pihak polis juga telah menyita harta bernilai RM387,534.20 iaitu sebuah kereta Lexus RX 350, sebuah kereta Perodua Axia, wang tunai berjumlah RM34,796 dan barang kemas bernilai RM268,738.20.

Menurutnya, sindiket itu mula aktif sejak pertengahan pada 2024 dan modus operandi mereka adalah mendapatkan bekalan dadah dari pembekal di Miri dengan menempah melalui WeChat.

Dadah tersebut kemudiannya dihantar dari Miri ke Sibu menggunakan perkhidmatan kiriman bas ekspres, selain menjadikan rumah sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah.

“Dadah yang ditempah oleh pelanggan melalui panggilan telefon, WhatsApp dan WeChat pula dihantar menggunakan ‘runner‘ dengan cara meletakkannya di lokasi tertentu di sekitar Sibu,” jelasnya.

Dengan tangkapan itu katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki, 48, dan wanita, 34, positif Amphetamine/Methamphetamine/Ketamin/Benzo dan dua suspek lagi didapati negatif dadah.

Oleh Akun Giman

Tags: Jenayah Jenayah & Mahkamah

Continue Reading

Previous: Gara-gara merokok di tempat makan, halang penjawat awam, lelaki di Saratok kena denda RM1,000
Next: Rompak berkumpulan: Tiga lelaki, seorang wanita di Kuching dihukum penjara 10 tahun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.