
SARATOK: Empat pekerja syarikat pembinaan dilaporkan hilang selepas sampan yang dinaiki bersama enam lagi rakan sekerja karam ketika menyeberangi Sungai Krian dari Jeti Sessang ke Jeti Pusa, petang tadi.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, insiden berlaku sekitar 5.30 petang ketika kesemua 10 pekerja syarikat ZCCC Contraction Sdn Bhd dalam perjalanan pulang dari tapak kerja.
Sampan tersebut karam di tengah sungai sebelum enam mangsa berjaya berenang ke tebing, manakala empat yang lain masih belum ditemui.
Mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Mohd Asfar Sulaiman, 25, warganegara Malaysia; serta tiga warga Indonesia iaitu Gunawan Pawadi, 35; Budianto Yapani, 50; dan Karyono, 41.
Enam lagi mangsa berjaya diselamatkan dan kesemuanya warga Indonesia.

PGO berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.13 petang sebelum jentera pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bersama empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapatkan maklumat daripada mangsa yang selamat dan menasihati pihak syarikat membuat laporan polis di Balai Polis Saratok.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan digerakkan bermula esok atas faktor keselamatan,” katanya.
Difahamkan, laporan polis berhubung insiden itu telah dibuat, manakala pihak bomba kini melakukan persediaan logistik bagi operasi SAR.
Oleh Adi Safarman