SELANGOR: Jika semalam pentas Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 menyaksikan persaingan sengit antara kontinjen, hari ini giliran wanita Sarawak mencuri tumpuan dengan empat pingat emas, membuktikan kehebatan srikandi Bumi Kenyalang di pentas temasya.
Empat emas itu hadir menerusi Yoyo Wong Zhi Yao dalam baling tukul besi wanita, Leticia Chai Ji Yi dalam 10 meter (m) air pistol wanita, Joey Tan Xing Lei menerusi recurve individu wanita dan trio penembak wanita Sarawak dalam 50m rifle prone berpasukan wanita.
Lebih membanggakan, kejayaan berkenaan hadir daripada empat cabang berbeza, sekali gus memperlihatkan kekuatan atlet wanita Sarawak yang bukan sahaja mampu bersaing, malah berdiri sebagai juara dalam acara masing-masing.
Di Kompleks Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Yoyo Wong Zhi Yao tampil sebagai ratu baharu baling tukul besi wanita selepas melakukan balingan terbaik sejauh 48.14 meter pada percubaan terakhir.
Atlet berusia 18 tahun dari Sibu itu bangkit selepas dua percubaan awalnya tidak membuahkan hasil sebelum melakukan balingan penentu untuk meraih emas dalam penampilan sulungnya di Sukma.
Lebih manis, catatan 48.14m itu menjadi rekod terbaik peribadi Yoyo, sekali gus membuka lembaran baharu buat kariernya di pentas Sukma.
Namun, Yoyo tidak sekadar mahu berhenti di situ apabila memasang impian untuk mengikut jejak idolanya, atlet kebangsaan Grace Wong Xiu Mei, dengan menyasarkan peluang beraksi di Sukan SEA.
Sementara itu, di Lapang Sasar Negara Subang, Leticia Chai Ji Yi menghadiahkan emas pertama Sarawak hari ini menerusi acara 10m air pistol individu wanita selepas mengumpul 231.3 mata.
Atlet berusia 19 tahun itu memilih untuk tidak mempedulikan kedudukan di papan mata sepanjang pertandingan, sebaliknya menumpukan sepenuhnya kepada setiap tembakan.
Strategi berkenaan membuahkan hasil apabila Leticia mengatasi wakil tuan rumah Selangor, Halina Izreen yang meraih perak dengan 227.2 mata, manakala Damia Hani dari Pahang membawa pulang gangsa selepas mengumpul 207.8 mata.
Kemenangan itu juga cukup bermakna buat Leticia yang sebelum ini hanya menduduki tempat ke-10 dan gagal mara ke final pada penampilan sulungnya di Sukma Sarawak 2024.
Emas berkenaan hadir bersama air mata kegembiraan, selepas segala tekanan yang dipikulnya sepanjang saingan akhirnya terbayar.
Tidak berhenti di situ, Leticia kemudian bersama Nur Arfa Aqilah Mat Fauzi dan Cynthia Grace Jesefilda turut menyumbang pingat perak buat Sarawak dalam acara 10m air pistol berpasukan wanita.
Kegemilangan srikandi Sarawak diteruskan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik, Kajang, apabila Joey Tan Xing Lei melengkapkan hatrik emas dalam acara individu recurve wanita.
Joey mengekalkan emas yang dimenanginya pada edisi 2022 dan 2024 untuk muncul juara acara itu bagi tiga edisi Sukma berturut-turut.
Dalam pusingan kelayakan, Joey mengumpul 643 mata untuk muncul pendahulu, sekali gus meneruskan dominasi yang dibina sejak Sukma 2022.
Lebih istimewa, Joey pernah memenangi tiga emas pada Sukma 2022 menerusi acara individu recurve wanita 70m, berpasukan recurve wanita dan berpasukan campuran recurve.
Satu lagi emas wanita Sarawak hadir menerusi Kaira Ramadhani Azman, Melisa Mike Snyut George Mike dan Affiennia Norolyn Howard Fadd dalam acara 50m rifle prone berpasukan wanita.
Trio itu mengumpul 1,815.4 mata untuk menewaskan Perak yang meraih perak dengan 1,804.6 mata, manakala Selangor membawa pulang gangsa selepas mengumpul 1,803.6 mata.
Sarawak mengekalkan kedudukan di tangga teratas sepanjang saingan sebelum mengesahkan emas, sekali gus melengkapkan kuartet emas wanita Sarawak pada hari penuh gemilang itu.
Menariknya, kejayaan Kaira turut hadir bersama cerita tersendiri apabila atlet berusia 19 tahun itu sebelum ini mengakui mula menceburi sukan menembak selepas dipaksa ibunya mencuba kerana melihat minatnya terhadap permainan video bertemakan menembak.
Daripada permainan video kepada pentas Sukma, Kaira akhirnya membuktikan minat itu mampu diterjemahkan kepada kejayaan sebenar apabila menghadiahkan emas buat Sarawak bersama rakan sepasukannya.
Empat emas dalam satu hari itu bukan sekadar angka dalam pungutan pingat, sebaliknya menjadi gambaran jelas bahawa wanita Sarawak sedang memainkan watak utama dalam usaha kontinjen memburu kejayaan di Sukma Selangor 2026.
Daripada balingan terakhir Yoyo, ketenangan Leticia di lapang sasar, ketepatan Joey dengan busur dan konsistensi trio Kaira, empat srikandi, empat emas, satu nama yang mereka junjung bersama iaitu Sarawak.
Oleh Shahrul Qaizat




