
KUCHING: Polis menahan empat suspek tempatan selepas merampas sepucuk senapang patah yang diubah suai, peluru hidup serta beberapa senjata lain dalam satu serbuan di rumah di Jalan Nanas Barat, pada 28 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, serbuan tersebut dijalankan kira-kira 9.30 malam ketika keempat-empat suspek berada di dalam rumah berkenaan. Suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 50 tahun.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemukan senapang patah diubah suai, tiga butir peluru hidup serta 18 kelongsong peluru kosong. Turut dirampas ialah kwan tao iaitu senjata bermata panjang, parang, dua batang besi berbentuk T yang telah diubah suai serta paip PVC yang dipercayai digunakan sebagai senjata, yang disembunyikan di beberapa bahagian rumah.
Alexson berkata, ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek lelaki positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Semakan lanjut juga mendapati dua lelaki dan seorang wanita mempunyai rekod jenayah lampau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Kes turut disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta sebatan.
Beliau menasihatkan orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-244444.
Oleh Connie Chieng