
BAU: Empat individu termasuk wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian kabel di menara telekomunikasi di Kampung Skiat Baru, di sini, yang membabitkan kerugian dianggarkan RM2,000.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A. Rahman, berkata kesemua suspek ditahan menerusi Op Lusuh yang dijalankan hari ini, pada 10.30 pagi hingga 1.30 petang di Kota Sentosa, Batu 10 Padawan dan Siburan.
“Kita menahan tiga lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam kecurian kabel kuasa di tapak Site T3E 0777, Kampung Skiat Baru,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, laporan polis dibuat pada 23 Februari lalu selepas seorang juruteknik syarikat telekomunikasi mendapati kira-kira 70 meter kabel telah dipotong dan dicuri dari kawasan menara berkenaan.
“Siasatan awal mendapati pagar perimeter menara tersebut telah dirosakkan. Anggaran kerugian adalah sebanyak RM2,000,” katanya.
Polis turut merampas Perodua Alza berwarna kelabu yang dipercayai digunakan oleh salah seorang suspek dalam kejadian itu.
Selain itu, beg berwarna hitam yang mengandungi tiga paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki syabu seberat kira-kira 3.30 gram ditemukan pada seorang suspek lelaki.
Kes berkaitan dadah itu disiasat secara berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padawan.
Mohd Haide berkata, hasil soal siasat awal mendapati tiga suspek lelaki menafikan penglibatan dalam kecurian kabel dan masih belum memberi kerjasama sepenuhnya. Suspek wanita pula memaklumkan bahawa kenderaan yang tular itu adalah milik ibunya dan digunakan oleh teman lelakinya.
“Semua suspek turut mengaku terlibat dalam penyalahgunaan syabu dan kini direman di lokap Balai Polis Bau untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta benda utiliti awam.
Oleh Connie Chieng