- Kejohanan Wushu Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah Peringkat Negeri Sarawak 2024
SARIKEI: Sebanyak 48 acara Wushu Taolu dipertandingkan pada Kejohanan Wushu Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah Peringkat Negeri Sarawak 2024 sempena sambutan Hari Sukan Negara tahun ini di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing berkata, kejohanan tersebut merupakan anjuran bersama Kelab Wushu Jelutong, Sarikei.
“Sebanyak 48 acara Wushu Taolu dipertandingkan dan empat daerah mengambil bahagian iaitu Sibu, Kanowit, Bintangor dan Sarikei.
“Kejohanan ini telah mendapat sokongan daripada Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei, Persekutuan Wushu Negeri Sarawak, dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan direkod sebagai salah satu program sempena sambutan Hari Sukan Negara 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pemanca Yii Hee Sieng selaku wakilnya di Dewan SMK ST Anthony.
Tambahnya, bidang sukan merupakan platform terbaik untuk melahirkan murid-murid yang cergas fizikal dan mental, menerusi latihan yang konsisten dan seimbang daripada pelbagai aspek yang merangkumi minda, fizikal, otot, saraf dan emosi.
“Sukan juga mampu membentuk seorang murid yang cergas patuh dengan peraturan dan secara tidak langsung membentuk seorang atlet yang berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin dan mempunyai jati diri yang kental serta mempunyai daya kepimpinan.
“Kejohanan ini juga adalah landasan ke arah perpaduan, menjalinkan sifat hormat-menghormati dan kerjasama yang tinggi.
“Matlamat akhirnya adalah untuk membentuk sebuah masyarakat dan warganegara yang berjiwa kental, patriotik dan saling menghormati,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Lamat Nyalau dan Pengerusi Pengelola Kejohanan Wushu Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah Peringkat Negeri Sarawak 2024, Lyde Lait.
Oleh Earl Anek