

TANGKAPAN DADAH….suspek yang positif dadah ditahan untuk tindakan lanjut. Foto IPD Lawas
LAWAS: Sepasukan polis menahan tiga lelaki tempatan berusia 31, 49 dan 51 tahun yang bekerja sebagai buruh selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, ketiga-tiga suspek ditahan pada 12 Julai 2026 kira-kira 4.00 petang di tepi Jalan Trusan, Lawas.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kereta yang dinaiki suspek serta pemeriksaan ke atas tubuh badan mereka tidak menemukan sebarang barang salah atau dadah.
“Bagaimanapun, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Semakan rekod jenayah lampau mendapati dua daripada suspek masing-masing mempunyai satu rekod kesalahan lampau, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan.


TANGKAPAN DADAH….suspek yang positif dadah ditahan untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian berasingan pada 10 Julai 2026 kira-kira 7.30 malam, sepasukan polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang bekerja sebagai buruh di tepi jalan di bandar Lawas kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Pemeriksaan lanjut terhadap suspek tidak menemukan sebarang barang salah atau dadah. Namun, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan berkaitan dadah. Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, pada hari yang sama kira-kira 4.02 petang, polis menerima laporan mengenai kehilangan kabel di dalam sebuah stor di tapak projek di Lawas.
Pengadu yang merupakan seorang kontraktor memaklumkan bahawa ketika pekerjanya ingin mengambil kabel di stor berkenaan, mereka mendapati semua kabel telah hilang. Pemeriksaan turut mendapati dinding stor berkenaan telah diumpil.
Kerugian dianggarkan berjumlah RM45,650. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran.
“Adalah menjadi satu kesalahan jika seseorang didapati memiliki, membeli, menyimpan atau menjual harta yang disahkan sebagai harta curi atau diperoleh secara tidak sah.
“Kesalahan tersebut boleh disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Oleh Adeng Edrus

