KENANGAN… Majlis Tertinggi Pegerakan Wanita PBB Sarawak merakam gambar di hadapan Ibu Pejabat PBB Jalan Bako di Kuching. •Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sesi 2022 hingga 2025 membuat ketetapan dengan menubuhkan empat biro utama yang akan diberi tumpuan di bawah sayap wanita.
Ketua Wanita PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia adalah biro politik, ekonomi, sosial dan kebajikan serta belia 1828.
“Jadi dengan tertubuhnya biro ini, ia mencerminkan penekanan kami untuk Sesi 2022 hingga 2025, pemilihan Ketua (Ketua Biro) sudah dibuat dan selepas ini mereka akan bermesyuarat dan merancang program yang akan dilaksanakan di bawah biro masing-masing.
“Untuk biro politik, kita akan bermesyuarat selepas ini, sasaran yang kita hendak capai iaitu cara-cara kita hendak melaksanakannya… ini akan kita bincang secara terperinci dalam mesyuarat biro politik ini,” katanya pada pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Mesyuarat Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita PBB Sarawak 2022-2025, Bil 1/2022 di Dewan PBB, Petra Jaya di sini, semalam.
Fatimah berkata, pergerakan itu membuat ketetapan di bawah biro politik untuk menambah keahlian ahli parti PBB di Sarawak ini terutama dalam kalangan wanita.
Katanya, jumlah keseluruhan ahli PBB adalah sebanyak 356,972 yang mana daripada jumlah tersebut 171,560 adalah wanita.
“Sebab kita dapati sekarang ini bilangnya kurang daripada bilangan lelaki.
“Kita akan bekerja keras untuk memastikan bahawa ahli PBB kita akan bertambah dan saya tahu jentera wanita yang mempunyai kecekapan dalam bidang ini dan juga sangat komited bila diberi sesuatu tanggungjawab mereka akan menjalankannya dengan bersungguh-sungguh,” ujarnya.
Pada masa sama, Fatimah memberitahu bahawa mesyuarat itu juga memutuskan untuk menambahkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 11 kepada 13 zon.
“Untuk memastikan kecekapan dan juga pencapaian objektif dapat dicapai terutama apabila kita mengadakan program yang dirancang khas, jadi kita membahagikan kawasan DUN di Sarawak ini kepada 13 zon.
“Ini bagi memudahkan dan juga memastikan pelaksanaan program teratur, terancang dan berkesan, jadi 13 zon kita tubuhkan dan setiap zon juga ada ketua penyelaras dan timbalan masing-masing,” katanya.
Ketika ditanya sama ada pembahagian zon itu dahulunya memang ada dibuat atau tidak, Fatimah berkata, ia memang ada.
“Ada, tetapi kita ubah suai mengikut pengalaman kita yang lalu, ia lebih sesuai kalau ada kawasan DUN. Contonhya, Jemoreng dan Daro kalau dulu ia diletakkan bersama dengan Sempo, Sarikei dan Kuala Rajang tetapi dari segi geografinya ia lebih dekat dengan Dalat, Balingian dan Tellian.
“Jadi, kita ubah suai dari zon kerana ada juga zon yang terlalu besar bilangan DUN dalam zon tersebut, jadi kita pecah kepada dua lagi,” jelasnya.
Tambahnya, pertambahan zon itu dibuat supaya apabila mengadakan program ia lebih mudah untuk mengumpulkan golongan sasaran di kawasan tersebut.
“Dari segi penginapan, pengangkutan ia lebih mudah kalau mereka dikumpul sama dalam satu zon yang berdekatan, manakala dari segi kos kewangan pun kita boleh membuat penjimatan kalau ia dikumpul dalam satu zon yang berdekatan.
“Kita belajar dari pengalaman yang lalu, kita hendak pastikan objektif program dan aktiviti yang dijalankan itu betul-betul mencapai sasaran dengan itu dari segi kumpulan yang disasarkan itu mestilah kumpulan yang berdekatan antara satu sama lain dan mudah untuk mereka bergerak dan berkumpul,” katanya.