
SEOUL: Empat agensi utama K-pop Korea Selatan iaitu Hybe, YG Entertainment, SM Entertainment dan JYP Entertainment sedang berusaha mewujudkan sebuah usaha sama, yang dilihat sebagai langkah ke arah mewujudkan festival muzik global melibatkan artis di bawah seliaan mereka, lapor Agensi Berita Yonhap.
Keempat-empat agensi itu, yang menyertai bahagian muzik dalam Jawatankuasa Presiden bagi Pertukaran Budaya Popular memaklumkan hari ini yang mereka sedang “membuat persiapan untuk menubuhkan sebuah syarikat bagi memajukan acara digelar ‘Fanomenon’.”
Pengasas JYP Park Jin-young, yang juga pengerusi bersama jawatankuasa itu memperkenalkan inisiatif ‘Fanomenon’ pada Oktober lalu semasa majlis pelancaran jawatankuasa itu di Goyang, barat laut Seoul, dengan menjelaskan bahawa nama itu menggabungkan perkataan ‘fan’ dan ‘phenomenon’.
Park turut menggariskan visi untuk melancarkan festival muzik besar Korea Selatan dengan nama itu menjelang Disember 2027, yang berpotensi menyaingi Festival Muzik dan Seni Coachella Valley di Amerika Syarikat.
Kesemua agensi berkenaan menyifatkan usaha sama itu sebagai “model kerjasama yang direka untuk meneroka kemungkinan baharu bagi pengembangan budaya Korea, termasuk K-pop, di pasaran global.”
Mereka memaklumkan yang proses penubuhan entiti korporat itu sedang dijalankan, namun menegaskan yang pelan perniagaan terperinci dan kaedah operasi masih belum dimuktamadkan.
“Syarikat kami akan membuat keputusan secara berhati-hati selepas mengambil kira keadaan pasaran dan pelbagai pandangan,” kata mereka.
-Bernama