
PUTRAJAYA: Empat abang bomba bertubuh sasa yang sering mencuri perhatian ramai pada perarakan sambutan Hari Kebangsaan sebelum ini terpilih mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam acara bina badan sempena temasya Sukan Polis dan Bomba Dunia 2025 (WPFG 2025) di Alabama, Amerika Syarikat (AS) hujung bulan ini.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, penyertaan sulung kontinjen bomba Malaysia dalam acara itu mencerminkan komitmen bagi memupuk kecergasan fizikal serta semangat kesukanan dalam kalangan anggota.
“Empat anggota itu merupakan antara lapan peserta yang menyertai pertandingan peringkat kebangsaan pada tahun lepas. Selepas perbincangan, kita bersetuju bawa mereka ke WPFG 2025, kita nak tengok prestasi mereka di sana,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM di sini hari ini.
Ditanya mengenai sasaran untuk bina badan, Nor Hisham berkata JBPM tidak meletakkan harapan tinggi sebaliknya apa sahaja warna pingat adalah pencapian membanggakan buat pasukan dalam penyertaan sulung ini.
“Kita juga tidak tahu tahap persaingan dari negara lain kerana ini penyertaan pertama kita,” katanya.
Nor Hisham berkata keseluruhannya 34 atlet JBPM akan beraksi dalam pelbagai acara sukan antaranya golf, boling dan badminton selain bina badan pada temasya dwitahunan itu yang akan berlangsung selama 10 hari bermula 27 Jun.
“Semoga tahun ini, atlet kita akan terus bersinar mengharumkan nama negara dan melepasi pencapaian temasya WPFG 2023,” katanya sambil menambah kontinjen JBPM berjaya merangkul 49 pingat pada WPFG 2023 yang berlangsung di Winnipeg, Kanada.
Menyifatkan edisi kali ini sebagai lebih mencabar susulan pencapaian membanggakan pada WPFG 2023, beliau berkata berbekalkan slogan yang dijunjung pasukan wira merah iaitu From Ordinary to Legendary, kontinjen berkenaan diyakini mampu membawa pulang lebih banyak pingat tahun ini.
Sementara itu, atlet bina badan JBPM Hasmadi Jusoh, 46, berkata pengalaman menyertai pertandingan di peringkat nasional dan antarabangsa akan menjadi pendorong untuk mereka membawa pulang pingat emas di WPFG 2025 bagi mengharumkan nama negara serta JBPM.
“Berbekalkan rutin latihan dan diet, kami harap dapat pingat emas,” katanya yang telah berkhidmat selama 20 tahun.– Bernama