
VLADIVOSTOK: Sebuah empangan berhampiran Gunung Klyuchevskoy di Semenanjung Kamchatka, Rusia telah musnah sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan aliran lumpur dan gangguan pengangkutan di wilayah itu, menurut pihak berkuasa tempatan pada Rabu, lapor Xinhua.
Institut Volkanologi dan Seismologi Cawangan Timur Jauh Akademi Sains Rusia menerusi Telegram memaklumkan bahawa pemeriksaan yang dijalankan dari 30 Julai hingga 2 Ogos berhampiran Sungai Studenaya mendedahkan bahawa empangan itu – yang dibina pada 2023 untuk memisahkan saluran kanan dan kiri sungai – telah runtuh, membolehkan air mengalir bebas melalui kedua-dua saluran.
Saintis mengaitkan kerosakan itu dengan peningkatan aktiviti gunung berapi yang dicetuskan oleh gempa bumi kuat yang melanda wilayah berkenaan pada 30 Julai.
Lava dari Gunung Klyuchevskoy kini sedang mengalir turun ke arah Glasier Bogdanovich, menyebabkan pencairan ais yang pantas. Aliran cairan salji itu menghasilkan aliran lumpur dan serpihan berskala besar.
Pakar memberi amaran bahawa jika aliran itu terus meningkat, ia akan menimbulkan ancaman langsung kepada pelancong di Lembah Tolbachinsky. — Bernama-Xinhua