Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Empangan Baleh berpotensi jadi hab pengeluaran empurau
  • TEMPATAN

Empangan Baleh berpotensi jadi hab pengeluaran empurau

Utusan Sarawak 3 hours ago
UCAPAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada majlis perasmian Taman Farley di Pasar Raya Farley, di Kuching hari ini.

KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang memanfaatkan kawasan sekitar Empangan Baleh bagi mewujudkan habitat semula jadi ikan empurau dalam usaha meningkatkan pengeluaran spesies ikan premium itu untuk pasaran bernilai tinggi pada masa hadapan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif tersebut akan dilaksanakan menerusi penanaman pokok yang menghasilkan sumber makanan semula jadi bagi ikan empurau di kawasan sungai berhampiran empangan berkenaan.

Menurut beliau, langkah itu mampu mewujudkan ekosistem yang sesuai untuk pembiakan empurau sekali gus membantu memperluaskan pasaran ikan yang terkenal sebagai antara spesies air tawar paling bernilai di Sarawak.

“Di Kapit, kita ada Empangan Baleh. Di sungai berhampiran Baleh itu, di tepinya kita mahu tanam pokok yang menghasilkan makanan untuk empurau.

“Apabila keadaan semula jadi untuk empurau dapat diwujudkan, kita boleh memperluaskan pasaran empurau. Kita tahu harga empurau, sedikit sahaja sudah mencecah ribuan ringgit,” katanya.

EMPANGAN Baleh.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Taman Farley di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, usaha tersebut merupakan antara pendekatan baharu kerajaan negeri dalam memanfaatkan sumber semula jadi Sarawak untuk menjana nilai ekonomi yang lebih tinggi melalui pengeluaran makanan premium.

Menurutnya, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi sumber alam dan persekitaran yang boleh dimanfaatkan bagi menghasilkan produk makanan berkualiti tinggi untuk pasaran tempatan serta antarabangsa.

Dalam masa sama, beliau turut mencontohkan kejayaan ikan tilapia Batang Ai yang mendapat sambutan di Singapura kerana kualiti rasanya yang lebih baik hasil diternak dalam persekitaran sungai yang mengalir berbanding kolam biasa.

“Tilapia Batang Ai kini menjadi kegemaran di Singapura kerana rasanya lebih enak berbanding ikan yang diternak di sesetengah kolam.

“Ini menunjukkan Sarawak mempunyai potensi besar untuk membangunkan industri makanan berasaskan sumber semula jadi yang bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus meneroka peluang baharu dalam sektor makanan dan pertanian bernilai tinggi sebagai pelengkap kepada pembangunan sektor tenaga, infrastruktur dan ekonomi hijau yang sedang giat dilaksanakan.

Menurutnya, usaha berkenaan selaras dengan matlamat Sarawak untuk memperkukuh ekonomi negeri menerusi kepelbagaian sektor yang mampu memberikan pulangan mampan kepada rakyat serta membuka peluang pasaran baharu di peringkat serantau dan antarabangsa.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Lebih 90,000 rayuan SKAS berpotensi diluluskan
Next: Farley terbuka pertimbang cawangan baharu di kawasan berkeperluan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.