Emas terjun hasil keserasian, Elisha hadiahkan buat arwah nenek

Facebook
WhatsApp
NUR Eilisha Rania Abrar Raj dan Nurul Farisya Alia Affendi bergambar selepas majlis penyampaian hadiah.

SHAH ALAM: Pingat emas acara terjun platform seirama wanita Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 menjadi hadiah istimewa buat arwah neneknya, selain melengkapkan koleksi emas keempat Nur Eilisha Rania Abrar Raj sepanjang penglibatannya di pentas Sukma.

Gandingan Eilisha, 21, bersama Nurul Farisya Alia, 17, menampilkan aksi cemerlang untuk mengungguli acara berkenaan selepas mengumpul 259.74 mata selepas lima pusingan di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.

Pasangan Sarawak itu meninggalkan pasangan Perak, S. Malik dan T. Voon yang meraih 216.18 mata, manakala gangsa menjadi milik Pahang menerusi N. Saiful Nazam dan N. Mohd Amir Hafiz dengan 215.94 mata.

Bagi Eilisha, kejayaan itu cukup menyentuh perasaan apabila emas berkenaan didedikasikan kepada arwah neneknya yang meninggal dunia dua tahun lalu, terutama apabila hari lahir Allahyarham jatuh sehari sebelum kemenangan tersebut.

“Emas tok saya hadiahkan kepada nenek saya sebab hari lahirnya semalam. Dia sudah meninggal dunia dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertandingan.

Kemenangan itu turut menyaksikan Eilisha menambah satu lagi emas dalam koleksi peribadinya selepas sebelum ini meraih tiga emas pada edisi Sukma 2016, 2018 dan 2024.

Lebih menarik, kejayaan tersebut hadir selepas Eilisha dan Farisya terpaksa menjalani latihan secara berasingan menjelang temasya kali ini.

NUR Eilisha Rania Abrar Raj dan Nurul Farisya Alia Affendi ketika upacara penyampaian hadiah.

Eilisha menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan, manakala Farisya yang berlatih di Sarawak hanya mempunyai peluang terhad untuk berlatih bersama gandingannya.

Menurut Eilisha, mereka hanya sempat menjalani latihan bersama sebanyak dua hingga tiga kali dalam tempoh kira-kira tiga bulan sebelum Sukma, namun keserasian yang telah dibina sejak sebelum ini membantu mereka mengekalkan persembahan.

“Tidak mudah sebab kami perlu berpisah dan tidak berlatih bersama. Saya berlatih dengan pasukan kebangsaan, manakala dia berlatih di Sarawak.

“Jadi, masa kami berdua tidak banyak, tetapi alhamdulillah kami ada keserasian sejak sebelum ini sehingga dapat bertahan,” katanya.

Eilisha turut mengakui keadaan kesihatannya yang pernah terjejas sebelum ini semakin baik hasil pemantauan jurulatih pasukan kebangsaan, Oong Zhi Qiang, dan jurulatih Sarawak, Shi Yang.

Sementara itu, Farisya pula terus membuktikan dirinya antara prospek utama Sarawak dalam acara terjun selepas turut memenangi tiga emas pada Sukma 2024 menerusi acara 10 meter individu, terjun seirama dan terjun seirama campuran.

Atlet dari Kuching itu yang sebelum ini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Mary sebelum menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2024 kini tampil pada penampilan kedua di pentas Sukma.

GANDINGAN emas Sarawak, Nur Eilisha Rania Abrar Raj dan Nurul Farisya Alia, seiring melakukan terjunan dalam acara terjun platform seirama wanita pada Sukma Selangor 2026 di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.

Menurut Farisya, kejayaan kali ini didedikasikan kepada keluarga, jurulatih serta dirinya sendiri selepas memberikan tumpuan sepenuhnya untuk memburu emas dalam acara berkenaan.

“Saya bagi keluarga saya, jurulatih saya dan diri saya sendiri sebab ini satu-satunya acara, jadi saya memang berjuang untuk pingat emas ini,” katanya.

Farisya juga masih mempunyai peluang untuk beraksi pada Sukma akan datang dan berhasrat untuk mempertahankan kejuaraan bagi memburu hatrik emas.

“Insya-Allah,” katanya ketika ditanya mengenai sasaran pada edisi akan datang.

Bagi Eilisha pula, perjuangannya di Sukma Selangor masih belum berakhir apabila mempunyai tiga lagi acara untuk disertai iaitu terjun seirama campuran, terjun seirama papan anjal dan acara individu.

Kejayaan pasangan itu sekali gus menambah kilauan emas Sarawak dalam acara terjun, selain memperlihatkan gabungan pengalaman Eilisha dan tenaga muda Farisya terus menjadi taruhan penting kontinjen negeri itu.

Oleh Shahrul Qaizat