SIBU: Elvis Didit telah memulakan tugas sebagai Residen Bahagian Kapit yang baharu, bagi menggantikan Galong Luang yang kini menjawat jawatan sebagai Residen Bahagian Miri.
Majlis serahan tugas telah berlangsung di Pejabat Residen Bahagian Kapit semalam.
Sebelum ini, Elvis Didit, 57, berasal dari Sri Aman berkhidmat sebagai Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Korporat, Kementerian Pengangkutan Sarawak.
Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam Sarawak pada 1994 sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman.
Sepanjang tempoh lebih 34 tahun dalam perkhidmatan awam, beliau telah menimba pengalaman luas di pelbagai jabatan dan agensi, termasuk sebagai Pegawai Tadbir di Pejabat Daerah Sibu, Timbalan Residen di Limbang dan Pegawai Daerah Kapit. Beliau juga pernah menjawat jawatan Timbalan Residen di Pejabat Residen Sri Aman.
Elvis dalam ucapan ringkasnya menekankan komitmennya untuk memastikan kejayaan pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Selain itu, beliau juga menekankan kepentingan kerja berpasukan, sejajar dengan saranan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki yang menggesa penjawat awam negeri dan persekutuan untuk bekerja secara harmoni sebagai satu pasukan.
Beliau turut menyatakan hasratnya untuk melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memahami keutamaan rakyat di Bahagian Kapit.
Turut hadir Timbalan Residen Kapit, Robert Liman Deli, Pegawai Daerah Bukit Mabong, Jabang Juntan, Pegawai Daerah Belaga, Bidah Lujah serta pegawai-pegawai kanan Pejabat Residen Kapit. – UKAS