


NUR Ellysha Rashlina Mohd Rashdan, 12 ketika ditemui Bernama, baru-baru ini. Nur Ellysha Rashlina Mohd Rashdan, 12, atau lebih mesra disapa Ellysha, berkata bapanya Mohd Rashdan Ramlee, merupakan pengasas siri animasi 3D berbahasa Inggeris Supertots dan SuperSquad yang pernah mencipta fenomena sekitar 2000-an. Menurut Ellysha, beberapa watak utama dalam siri animasi itu turut menggunakan nama dan karakter adik-beradiknya, menjadikan karya tersebut dekat dengan kehidupan mereka sekeluarga sekali gus menimbulkan minatnya terhadap bidang seni. Selain bidang seni, Ellysha turut menyerlah dalam sukan lompat tali dan pernah mewakili Malaysia ke Singapore National and Open Jump Rope Championship 2024 dalam pelbagai kategori bawah 12 tahun. Foto BERNAMA
BANGI: Minat gadis sunti meningkat remaja ini terhadap dunia seni berputik sejak kecil kerana dibesarkan oleh keluarga yang aktif dalam bidang animasi dan penerbitan.
Nur Ellysha Rashlina Mohd Rashdan, 12, atau lebih mesra disapa Ellysha, berkata bapanya Mohd Rashdan Ramlee, merupakan pengasas siri animasi 3D berbahasa Inggeris Supertots dan SuperSquad yang pernah mencipta fenomena sekitar 2000-an.
Menurut Ellysha, beberapa watak utama dalam siri animasi itu turut menggunakan nama dan karakter adik-beradiknya, menjadikan karya tersebut dekat dengan kehidupan mereka sekeluarga sekali gus menimbulkan minatnya terhadap bidang seni.

“Sejak kecil, saya sudah didedahkan kepada dunia produksi kerana sering menemani ibu dan adik-beradik ke pelbagai acara melibatkan Supertots dan SuperSquad. Dari situ, saya mula rasa seronok dengan bidang seni persembahan dan timbul keinginan untuk mencubanya sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Mengorak langkah dalam bidang seni, Ellysha mula mengikuti kelas tarian dan teater seawal usia empat tahun di bawah bimbingan ratu irama tradisional dan etnik kreatif Noraniza Idris.
Anak bongsu daripada empat beradik itu turut terlibat dalam kerja alih suara, antaranya untuk iklan tanggungjawab sosial korporat terbitan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), serta kempen kesedaran pandemik COVID-19 oleh Yayasan Hasanah.
“Sejak itu, saya menerima pelbagai tawaran lain, antaranya berlakon dalam teater muzikal Huminodun: Muzikal Puteri Nabalu tahun ini,” katanya yang juga aktif dalam badan beruniform Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia yang membawanya ke Bangkok, Thailand pada tahun lepas, sebagai wakil negara.

Selain bidang seni, Ellysha turut menyerlah dalam sukan lompat tali dan pernah mewakili Malaysia ke Singapore National and Open Jump Rope Championship 2024 dalam pelbagai kategori bawah 12 tahun.
“Saya suka lompat tali sebab ia boleh dilakukan secara individu dan juga berkumpulan. Sekarang saya berlatih tiga hingga empat kali seminggu untuk mantapkan lagi kemahiran.
“Insya-Allah, saya akan mewakili Malaysia menyertai Queen’s Cup Jump Rope Thailand Open 2025 dan Singapore National Jump Rope 2025 pada hujung tahun ini,” katanya yang juga ahli Persekutuan Lompat Tali Malaysia dan GB Rope Skipping Academy.
Di sebalik komitmen terhadap seni dan sukan, Ellysha tetap mengekalkan prestasi akademik yang baik dengan menghadiri kelas tambahan dan tuisyen secara konsisten.
“Kadang-kadang memang penat, sebab siang sekolah, malam pula ada latihan atau tuisyen, tapi saya dah biasa. Kalau kita suka dan ada matlamat, kita akan usaha juga,” katanya yang juga pengawas Pembimbing Rakan Sebaya dan Pengerusi Kelab Kebudayaan di sekolahnya.
Berkongsi perancangannya, Ellysha bercita-cita menyambung pelajaran ke Sekolah Seni Malaysia Perak dalam bidang teater sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan seni teater di Universiti Pendidikan Sultan Idris.
“Kalau kita ada minat, jangan takut untuk mencuba. Kita kena yakin dengan diri sendiri dan jangan cepat putus asa. Kalau kita usaha, insya-Allah akan ada jalan,” katanya yang bersyukur menerima sokongan penuh daripada keluarga.
Sementara itu, ibunya Nor Haslina Mohamed, 49, berkata ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencungkil potensi anak sejak awal, termasuk membina portfolio, menyediakan ruang latihan dan membantu mereka mengenal hala tuju.
“Setiap anak berbeza. Ada yang pendiam, ada yang aktif. Kalau nampak minat mereka, bantu dan dorong secara berperingkat. Kemenjadian murid tidak hanya bergantung pada akademik, tapi juga pembangunan bakat dan jati diri.
“Saya percaya pendedahan awal dan bimbingan berterusan sangat penting. Jadi, kita sebagai ibu bapa kena peka dan bantu anak temui kekuatan mereka,” katanya.– Bernama