
KUALA LUMPUR: Membuka tirai awal tahun depan, selain konsert Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 10 Januari yang dijangka menjadi tumpuan peminat, ratu rock negara Ella turut sama bersedia kembali menggegarkan pentas menerusi konsert meganya.
Memilih Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk menghangatkan pentas pada 14 Februari selepas sekian lama tidak beraksi di gelanggang berskala besar, konsert Majlis Tertinggi Rockqueen dijangka menjadi detik bersejarah buat penyanyi legenda itu.
Konsert yang akan menyusuri karier Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin sepanjang lebih empat dekad, diumumkan semalam menerusi platform media, ia sebagai penghargaan kepada peminat yang sentiasa bersama dalam perjalanan seninya.
“Setiap tiket yang anda dapatkan membawa banyak makna, harapan dan perubahan. Majlis hanya akan lengkap dengan kehadiran anda semua. Ella harap kita dapat bertemu dan berkongsi detik indah bersama-sama,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Mengulas mengenai tema konsert berkenaan, isteri kepada Kapten Azhar Ghazali dalam satu kenyataan berkata pemilihan nama Majlis Tertinggi Rockqueen bukan sekadar merujuk simbolik literal dan gelaran umumnya sebagai “Ratu Rock” tetapi juga simbol kepada misi memberi impak lebih bermakna dalam aspek kemanusiaan.
“Saya akan mencapai usia 60 tahun pada 2026, dan sudah tentu saya ingin memberi impak dan legasi berkekalan khususnya dalam aspek kemanusiaan. Majlis Tertinggi Rockqueen adalah terjemahan kepada sebuah gerakan yang mahukan ‘Peace, Love & Rindu’,” katanya.
Mengakui penganjuran di SNBJ merupakan cabaran besar setelah lama tidak beraksi di pentas sebesar itu, pelantun Permata Biru itu melihat ia sebagai suntikan semangat untuk terus berkarya selepas mengabdikan diri dalam seni sejak 1983
“Harapan saya agar konsert ini dapat memberi sumbangan terbaik kepada pertubuhan amal yang terlibat. Saya juga berharap generasi muda akan terus lahir sebagai individu cemerlang dan berjaya sementara para seniman dapat terus berkarya dan dibela. Jangan lupa undi ‘Peace, Love atau Rindu’ dan jumpa di Majlis Tertinggi Rockqueen nanti,” katanya.
Dianjurkan Hitman Solutions dan Rockqueen, konsert itu akan mengangkat tema Peace, Love & Rindu dengan nilai ‘Peace’ melambangkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Gaza; ‘Love’ mengacu kepada isu buli di institusi pendidikan di Malaysia manakala ‘Rindu’ didedikasi kepada insan-insan penggiat seni tanah air yang sentiasa berkarya demi industri.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Hitman Group Rohit Rampal berkata Majlis Tertinggi Rockqueen bakal menjadi konsert buat rakyat dengan harga tiket yang mampu milik dan terjangkau buat semua lapisan peminat.
“Konsert kali ini, antara intinya adalah kami ingin ‘give back to the people’. Kerana itu, kami memilih lokasi besar dengan pilihan harga tiket yang murah namun, tidak menafikan pengalaman luar biasa pengunjung konsert, juga sajian audio visual bermutu buat semua yang hadir,” katanya.
Menurutnya, setiap pembelian tiket memerlukan pembeli memilih tabung sumbangan pilihan mereka, sama ada Peace untuk Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Love (Yayasan Kebajikan Negara) atau Rindu (Yayasan Kebajikan Artis Tanahair).
“Bagi setiap pilihan yang dibuat mengikut tema tersebut, organisasi berkaitan akan menerima sumbangan RM2 daripada nilai tiket,” katanya. Penjualan tiket bermula 8 Disember ini mulai 3.00 petang menerusi www.hitmanlive.com berharga antara RM39 hingga RM499.
Buat masa ini, Ella masih belum mendedahkan jumlah lagu yang bakal dipersembahkan, selain tema serta persoalan siapakah gerangan artis yang akan tampil sebagai rakan duetnya selepas pernah berduet dengan suaminya, Awie dan Amy Search pada persembahan di konsert terdahulu.
Semua persoalan itu akan terjawab Februari nanti. – Bernama