Oleh: Abang Median Abang Said
PERTAMA sekali, ingin saya ingatkan bahawa bimbingan ini bukannya untuk menjadikan penulis (dalam konteks tulisan kali ini merujuk kepada Aileen Clare) seperti Abang Median Abang Said, Roslan Jomel atau seperti Lokman Hakim yang menjadi pengulas cerpen dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera. Saya juga tidak berniat mengubah stail atau langgam penulisan karya seseorang penulis sehingga mengikut gaya kami. Para pengulas juga mempunyai pandangan yang berbeza tentang sastera – yang tidak ada betul dan salahnya – terpulang kepada pengamatan dan penaakulan seseorang berdasarkan teori atau pegangan yang diyakininya. Sebagai pengulas, saya hanya melihat dan menilai sesebuah karya secara holistik berdasarkan pengalaman dan pegangan yang saya yakini betul.
CL Lewis, seorang penulis dari Ireland yang terkemuka pernah berkata:
Kejayaan seseorang penulis tidak diraih dengan mudah. Bukan hanya dengan pembacaan tetapi juga dengan pengalaman yang membentuk kematangan.
Saya sendiri telah melalui perkara tersebut. Kumpulan cerpen saya bertajuk Cacing di Dahi yang memenangi hadiah anjuran Pena-BH, apabila dibaca semula, saya merasakan banyak kelemahan pada karya berkenaan. Maknanya pengalaman dan perjalanan panjang sebagai penulis akan memberikan kematangan pada karya. Oleh itu, seseorang penulis tidak boleh berbangga dengan satu dua kejayaan sehingga berkokok untuk menarik perhatian khalayak sastera.
Sememangnya sastera itu bersifat subjektif. Perkara yang objektif dalam sastera adalah dari aspek kesalahan bahasa – itupun ada pandangan yang mengatakan bahawa penulis mempunyai licenta poetica, yaknipenyimpangan dalam aspek sintaksis, tatabahasa, diksi, kebenaran sejarah, anakronisme dan bentuk yang dipercayai dapat memberikan kepuasan imaginatif dan kesan metrikal. Namun para penulis tidak boleh menggunakan licenta poetica secara wewenang tanpa mengukur dari sudut keindahannya (Baldick:1991, Abrams:1990). Tidak kesemua kebebasan dapat dikategorikan sebagai licentia poetica (Gray, 1981). Ada kesilapan tatabahasa imaginatif yang terlalu tidak terkawal, memaparkan kesilapan tatabahasa yang lemah sehingga gagal memberikan kesan yang sempurna kepada khalayak pembaca; perkara ini bukanlah dapat dianggap licentia poetica.
Maaf, ini bukan bebelan, tantrum atau khutbah. Perkara ini perlu untuk memberi kejelasan kepada penulis muda ( muda dari aspek pengkaryaan ) dan ulasan ini bukan bermakna kami mengetahui dan betul semuanya. Buang yang keruh (ulasan yang tidak tepat) dan ambil yang jernih (ulasan yang memberikan manfaat). Itulah resmi berguru.
Walau bagaimanapun, berdasarkan cerpen “Santau”,pujian perlu diberikan kepada penulis kerana tidak ada sebarang kesilapan tatabahasa yang dikesan dalam cerpen berkenaan. Langgam bahasa yang diolah oleh penulis juga lancar untuk menggerakkan plot dan gambaran perwatakan. Maknanya penulis sudah semakin teliti sebelum menghantar karya ke pihak penerbitan.
Perkara seterusnya yang menjadi perhatian saya ialah dalam aspek pemilihan tajuk. AS Laksana menekankan tentang pentingnya memberikan tajuk yang menarik sebagai tarikan pertama kepada pembaca. Saya sendiri akan membaca cerpen dalam antologi atau kumpulan cerpen dengan memilih cerpen yang mempunyai tajuk yang menarik terlebih dahulu. Umpamanya, saya membaca cerpen “Perempuan Aneh yang Meletupkan Dirinya di dalam Gelas” yang menjadi judul kumpulan cerpen Jasni Matlani kerana tarikan tajuknya. Cerpen ini saya jadikan contoh, bukan kerana kepelikannya yang memeningkan masyarakat tetapi mutunya yang diiktiraf melalui kejayaannya dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2019/2020. Oleh itu, tajuk “Santau”yang dipilih oleh penulis tidak memberikan sesuatu kelainan atau nampak klise kerana tajuk ini sudah banyak digunakan sebagai judul drama tempatan dan filem dari tanah Seberang. Walaupun sesebuah cerpen atau karya sastera itu merupakan cerminan kepada permasalahan yang berlaku kepada masyarakat, namun dinasihatkan supaya penulis dapat menggarap isu santau dengan memikirkan gaya yang lebih segar.
Cerpen ini boleh ditulis dengan menonjolkan teknik realisme magis yang berbeza dengan cerpen Amerika Latin dengan menonjolkan budaya tempatan. Perbuatan santau yang telah lama mengejap dalam perbuatan negatif masyarakat itu sendiri mempunyai elemen realisme magis. Menurut Wendy B. Faris (1995), terdapat lima konsep yang perlu ditonjolkan dalam karya sehingga boleh mencapai tahap sebuah cerpen realisme magis.Saya akan menerangkannya berdasarkan contoh-contoh daripada cerpen “Santau”.
Melalui konsep The Irreducible Element, sememangnya elemen santau dalam masyarakat Melayu (polong dalam masyarakat Iban) tidak dapat diterangkan sama ada oleh hukum akal atau lumrah alam semesta. Dalam cerpen ini, watak Pak Jais telah disantau sehingga dia melalui beberapa perkara pelik seperti yang digambarkan oleh penulis :
Selama berhari-hari, keadaan Pak Jais menjadi semakin teruk. Dia bercakap seorang diri dan mencederakan dirinya sendiri. Tubuh Pak Jais sangat kurus sehingga menampakkan tulang belulang. Pak Jais dikurung di dalam bilik. Hanya Adam dan Fatimah yang bergilir-gilir menjaga bapanya. Adam sedikit pun tidak takut dengan bapanya. Perut bapanya mula membesar, rambutnya mula gugur dan kadang-kadang bapanya akan memakan rambutnya sendiri. Pak Jais tidak mahu makan dan akan mengamuk apabila Fatimah memaksanya makan. Dia gemar makan benda yang kotor.
Penulis telah berjaya memberikan gambaran situasi Pak Jais yang disantau dengan baik. Namun aspek deskriptif yang diolah oleh penulis boleh ditingkatkan lagi. Saya hanya memberikan saranan. Antara penulis yang mempunyai pengolahan deskriptif yang baik ialah Shahnon Ahmad sehingga pembaca berasa jijik dan loya membaca penerangannya tentang muntah dan air liur umpamanya. A. Samad Said juga mempunyai keupayaan untuk menggunakan teknik deskriptif yang baik sehingga pembaca terasa hidup dan membesar di Kampung Kambing (dalam novel Salina). Tentunya ada banyak lagi contoh lain yang boleh dibaca oleh penulis.Tidak semestinya sama dengan apa yang saya cadang, asalkan menepati takrif sebagai karya yang berkualiti melalui pihak yang berautoriti dan berintegriti dalam penilaian karya sastera.
Cerpen “Santau”ini juga telah menerangkan dunia yang luar biasa dalam masyarakat tempatan yang menjadi ciri kedua dalam karya realisme magis. Di barat, ugutan yang dilakukan adalah melalui kekerasan – mencederakan mangsa atau keluarga dengan pistol, senapang atau senjata tajam. Watak Pak Jais mungkin boleh dibunuh dengan kejam. Pembaca berandaian bahawa semua itu dilakukan oleh Jaafar – adik beradik Pak Salleh yang tidak berpuas hati tatkala hak mereka terhadap tanah pusaka telah dijual oleh Pak Salleh kepada Pak Jais. Tindakan yang luar biasa dalam ciri realisme magis boleh dibaca melalui contoh di bawah :
Lelaki itu hanya diam, kemudian dia mengangkat tangan kanannya dan membuat isyarat supaya mereka yang lain menahannya. Pak Jais meronta-ronta minta dilepaskan dan mulutnya ditekup. Baju Pak Jais diselak sehingga menampakkan perutnya, lelaki tadi seolah-olah membaca mantera dalam bahasa yang tidak difahami Pak Jais. Kemudian dia mengeluarkan satu bekas kecil, dicelupkan jarinya ke dalam dan melakar sesuatu pada perut Pak Jais. Kulit perut Pak Jais terasa sedikit panas, ada cecair hitam yang dilakar di atas perutnya, lakaran itu seperti huruf tulisan Siam.
Perbuatan santau yang dilakukan ke atas mangsa lebih menyeksakan daripada seseorang mangsa itu ditoreh mukanya atau terus dibunuh. Santau membunuh dari dalam secara perlahan-lahan dengan keadaan yang sangat derita. Itulah aspek realisme magis yang boleh dirincikan oleh penulis untuk menggugah perasaan pembaca.
Cerpen ini turut memaparkan ciri ketiga realisme magis yang digariskan oleh Wendy B. Faris, iaitu tentang Unsettling Doubts,yakni memaparkan konsep realisme magis berkaitan dengan budaya tempatan yang begitu meragukan, tidak pernah ada jawapan yang konkrit yang boleh menjelaskan tentangnya. Jikapun ada jawapan dengan alasan tertentu, akan ada pula yang mematahkannya kerana keyakinan terhadapnya telah membudaya dalam kehidupan sejak dahulu. Antaranya, bagaimana tulisan siam pada badan itu boleh menyebabkan seseorang menjadi tidak normal? Tinta itu bukan racun yang dimasukkan melalui mulut. Mengapa masyarakat begitu percaya dengan ilmu hitam sehingga menjadikan bomoh dan pawang sebagai penyelesai masalah? Tidak kuatkah nilai keagamaan dalam masyarakat? Persoalan ini memang ada disisipkan oleh penulis dalam karyanya tetapi hanya pada lapisan permukaan. Tidak secara mendalam. Cerpen ini akan lebih menarik jikalau penulis mengupas secara mendalam elemen ini dengan memasukkan elemen falsafah yang berkaitan dengan budaya tempatan. Itu hanyalah merupakan cadangan untuk dipertimbangkan – bukan untuk memaksa penulis mengikutinya secara membuta tuli lantas menghilangkan kepingan puzzle dalam karya berkenaan. Cuma saranan itu diberikan atas pengalaman dalam penghasilan karya yang berubah mengikut iklim sastera – tidak jumud dengan pandangan konvensional.
Ciri realisme magis yang tidak terdapat dalam karya ini ialah Merging Realms,penggabungan yang erat antara dua jenis alam, iaitu alam nyata dan alam ghaib. Namun penulis boleh memasukkan ciri ini jikalau penulis mampu merincikan halusinasi atau alam separuh sedar watak Pak Jais sehingga dia sanggup memakan rambutnya sendiri atau memakan segala benda yang menjijikkan. Tentu ada gambaran lain yang dilihat oleh Pak Jais pada waktu itu sehingga bertindak demikian. Tentu gambaran dan pengolahan yang lari sedikit daripada apa yang telah digarap oleh penulis akan meninggalkan lebih banyak impak dan merencamkan lagi jalinan plot yang telah disusun.
Cadangan saya, penulis boleh juga menggambarkan dunia transisi antara dunia sedar dan separa sedar Pak Jais dengan melakukan dialog dengan anaknya, Adam atau dengan isterinya, Fatimah. Ustaz atau pawang juga boleh dijadikan perantara dialog Pak Jais dengan jin melalui perubatan Islam atau perubatan tradisional. Hal ini kelihatan sangat absurd terutama jikalau dibaca melalui sastera barat tetapi diamalkan oleh masyarakat Melayu ( mengikut konteks cerpen ini) yang memperoleh ilmu ini melalui warisan atau ilmu yang dituntut dengan pengamal terdahulu.
Ciri terakhir yang digariskan oleh Wendy B. Faris dalam pencirian cerpen realisme magis ialah melalui konsep gangguan dari segi masa, ruang dan identiti. Salasilah keluarga Pak Jais dan keluarga Pak Salleh disusun oleh penulis dengan cara yang mudah. Plot cerpen ini juga disusun dengan mudah dan mengikut kronologi. Adakah penulis tidak mahu menyusahkan pemikiran pembaca dengan plot yang dijungkarbalikkan? Konflik cerpen ini bermula dengan kesanggupan Pak Jais yang membeli tanah yang dijual oleh Pak Salleh setelah dipujuk berkali-kali. Akhirnya, Pak Jais membeli tanah tersebut. Antara stereotaip masalah masyarakat Melayu (bukan cerpen ini) ialah perebutan tentang harta pusaka. Itulah pengulangan sikap dalam kehidupan dan juga cerpen. Adik beradik Pak Salleh, iaitu Karim, Zainab dan Jaafar ingin meminta semula geran tanah yang telah diserahkan kepada Pak Jais. Mereka mengatakan bahawa abang mereka, iaitu Pak Salleh telah menjual tanah tersebut tanpa persetujuan mereka. Daripada konflik tersebutlah pembaca berandaian bahawa ahli keluarga Pak Salleh yang menyantau Pak Jais sehingga dia diserang penyakit yang aneh.
Hanya kecelaruan identiti sahaja yang digambarkan oleh penulis yang menepati ciri cerpen realisme magis. Setelah terkena santau, Pak Jais dalam keadaan separuh sedar dan tidak normal telah memisahkan diri daripada peribadi asalnya. Pak Jais sudah tidak menjadi Pak Jais yang asal lagi. Identitinya telah berubah secara total disebabkan santau yang dihantar kepadanya.
Penulis telah membuat kejutan sewaktu menyusun plot cerpennya tatkala menggambarkan bahawa orang yang menghantar santau kepada Pak Jais sehingga dia meninggal dunia bukannya oleh watak Jaafar, Karim atau Zainab. Watak yang menghantar santau itu sebenarnya ialah Pak Wahab.
Ada beberapa perkara yang ingin saya timbulkan untuk perhatian penulis dan juga pembaca yang mahu menjadikan ulasan saya ini sebagai nilai tambah kepada mereka. Kenapa saya mengulas cerpen ini dengan mengaitkannya dengan elemen realisme magis?
Saya mahu memberikan jawapan yang mudah.
Tujuan saya adalah untuk mengangkat cerpen ini ke tahap yang lebih baik supaya tidak dilabel sebagai cerpen yang stereotaip yang hanya memperkatakan tentang budaya per se. Penulis perlu melakukan sedikit penambahbaikan pada cerpennya supaya cerpen ini menjadi karya realisme magis yang mampu meningkatkan kualiti sasteranya dan juga menarik minat pembaca karya sastera. Perkara ini telah dilakukan oleh Ruhaini Mat Darin sehingga banyak memenangi sayembara dan hadiah sastera yang dianjurkan peringkat negeri mahupun nasional. Saya juga melakukan perkara yang sama, daripada kumpulan cerpen Kukembalikan Namamu kepada kumpulan cerpen Cacing di Dahi sehinggalah kepada karya-karya terbaharu saya.
Selain itu, terdapat beberapa perkara yang telah menimbulkan kemusykilan kepada pembaca yang serba sedikit telah melemahkan jalinan plot dalam cerpen berkenaan. Mengapa Pak Wahab menyantau atau membalas dendam pada watak Pak Jais kerana perasaan cemburunya dengan mengambil masa yang begitu lama? Mengapa setelah Pak Jais mempunyai empat orang cahaya mata? Mengapa santau itu tidak dilakukan sewaktu usia perkahwinan Pak Jais dan Fatimah masih lagi pada peringkat awal? Apapun alasannya, pembaca akan melihat ketidaklogikan pada penyusunan plot berkenaan. Saya sarankan supaya sedikit perubahan dilakukan dengan meletakkan perkahwinan Pak Jais dan Fatimah baru sahaja berlaku selama 4 ke 5 tahun dan bukannya dalam usia yang telah lanjut. Saya yakin, saranan ini tidak kabur untuk difahami penulis dan juga para penulis muda yang lain.
Satu lagi perkara yang agak mengganggu dan melemahkan jalan cerita ialah tatkala Karim, Jaafar dan Zainab ingin Pak Jais menyerahkan geran tanah kepada mereka semula. Adakah pembelian itu dilakukan tidak melalui peguam, kerana proses penukaran nama pemilik geran perlu dilakukan melalui undang-undang? Jikalau penukaran nama itu telah dilakukan, tentunya penyerahan geran kepada Karim, Jaafar atau Zainab tidak akan memberikan sebarang makna kerana mereka perlu membayar kos guaman, stem hasil dan lain-lain lagi untuk penukaran nama itu semula. Maknanya, penulis perlu maklum dan faham tentang proses, prosedur atau undang-undang tentang tanah kerana penulis telah memilih subjek tersebut untuk menjadi jalan ceritanya.
Satu lagi kelemahan nyata dalam cerpen ini ialah pada bahagian pengakhirannya yang diselesaikan dengan begitu tergesa-gesa oleh penulis. Tidak ada unsur ketegangan dan saspens yang cuba diolah oleh penulis. Pengakhiran ditulis secara polos – hanya pernyataan umum seperti berikut :
Dia mendapat berita daripada orang kampung bahawa Pak Wahab ditemui mati di kebunnya sendiri, dalam keadaan ususnya terkeluar, darahnya juga kering dan wajah Pak Wahab seperti dirobek sesuatu. Setiap hari Adam mendoakan untuk arwah ibu bapanya, dia menarik nafas dan mencari ketenangannya kembali.
Tentu lebih dramatik jikalau Adam berdepan dengan Pak Wahab untuk bertanya tentang perlakuannya yang telah menyantau ayahnya. Penyesalan watak Pak Wahab juga tidak ditonjolkan kerana dia tidak berdepan dengan Adam untuk meluahkan kekesalannya. Kelemahan ini perlu dibaiki oleh penulis pada karyanya yang akan datang.
Secara keseluruhannya, karya ini masih lagi baik terutama dari aspek pergerakan plotnya yang lancar (tidak termasuk kelemahan yang dinyatakan tadi). Bahasa yang digunakan juga selancar jalinan plotnya. Setiap watak yang dimasukkan dalam cerpen mempunyai fungsi yang tersendiri – bukan hanya untuk menambahkan watak secara tempelan sahaja. Kepingan puzzle yang menjadi ciri dan kekuatan penulis tidak perlu dibuang – cuma ada kepingan puzzle yang tertinggal yang perlu dilengkapkan oleh penulis dengan latihan penulisan yang berterusan dan juga pembacaan meluas. Pilihlah apa-apa karya sastera yang telah dibuktikan sebagai karya berkualiti. Kami para pembimbing memberikan saranan sesuai dengan pembacaan dan pengalaman kami.
Ada pembimbing yang menegur secara terus dan telus, ada pembimbing yang yang menegur secara berkias yang diadun dengan pendekatan psikologi. Apa pun caranya, sama ada dengan bebelan atau teguran, hasrat setiap pembimbing adalah untuk melihat kemajuan sastera di Bumi Kenyalang pada masa akan datang. Semoga teguran saya ini memberikan sedikit input kepada penulis – tidak liat dan mudah untuk dihadam; lebih penting, tidak menimbulkan mudarat agar dapat dinikmati sedikit zatnya.
Saya tinggalkan kata-kata Rabindranath Tagore, seorang pujangga India:
Keyakinan adalah burung yang merasakan cahaya ketika gelap masih membayang.
Kepada Aileen Clare, selamat menjadi dewasa sebagai penulis… .