Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Elemen hiburan tidak bersesuaian digugurkan, sambutan ambang Tahun Baharu Miri diteruskan
  • TEMPATAN

Elemen hiburan tidak bersesuaian digugurkan, sambutan ambang Tahun Baharu Miri diteruskan

Utusan Sarawak 9 hours ago
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Jabat Sejagat di Perkampungan Sukan Sarawak, di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA: Elemen hiburan yang tidak selari dengan norma dan nilai masyarakat setempat akan dikeluarkan sepenuhnya daripada sambutan ambang Tahun Baharu di Miri susulan bantahan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, penganjuran sambutan ambang Tahun Baharu itu sendiri dibenarkan diteruskan dengan pengisian yang lebih bersesuaian.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata keputusan itu dicapai selepas pihak berkuasa tempatan memanggil penganjur bagi meneliti semula pengisian acara yang sebelum ini mencetuskan kegusaran orang ramai.

Beliau menegaskan, isu sebenar bukan penganjuran sambutan ambang Tahun Baharu, sebaliknya kandungan hiburan yang didakwa bercanggah dengan adat, budaya dan sensitiviti masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

“Saya difahamkan elemen persembahan yang dianggap keterlaluan dan tidak bersesuaian itu akan ditarik balik, sementara sambutan ambang Tahun Baharu boleh diteruskan dengan pengisian yang sesuai,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Jabat Sejagat di Perkampungan Sukan Sarawak, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, sambutan ambang tahun baharu yang menampilkan persembahan nyanyian dan hiburan sederhana tidak pernah menjadi isu, malah diterima baik masyarakat seperti yang dianjurkan di Kuching sebelum ini.

“Tidak ada masalah hiburan atau nyanyian. Yang menjadi masalah apabila pengisian itu melampaui batas dan menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa penganjur tidak boleh menggunakan alasan penganjuran tanpa peruntukan kerajaan untuk membawa masuk sebarang bentuk hiburan tanpa kawalan.

“Walaupun tidak melibatkan dana kerajaan, ia tidak bermakna penganjur bebas berbuat sesuka hati. Kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan polis tetap mempunyai kuasa serta tanggungjawab untuk bertindak,” katanya.

Isu penganjuran aktiviti dikenali sebagai Pesta Buih itu sebelum ini mencetuskan bantahan daripada 12 NGO di bawah Gabungan NGO di Miri, yang menyuarakan kebimbangan terhadap kesan penganjuran hiburan asing yang didakwa tidak mencerminkan jati diri serta norma masyarakat Sarawak.

Jurucakap gabungan itu, Mohamad Abdullah Jamin berkata, maklum balas diterima daripada masyarakat setempat menunjukkan kebimbangan terhadap bentuk persembahan yang dipromosikan di media sosial sempena sambutan ambang Tahun Baharu pada 31 Disember.

Menurutnya, sebarang acara awam berskala besar wajar dirancang dengan mengambil kira kepekaan budaya, keselamatan serta kesesuaian untuk semua peringkat umur.

“Kami tidak menolak sambutan atau hiburan, tetapi penganjuran perlu selari dengan identiti dan nilai masyarakat Sarawak supaya sambutan itu menyatukan, bukan mencetuskan kegusaran,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: ADUN Kota Sentosa hargai peranan media, gesa laporan bertanggungjawab dan konstruktif

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.