
JAKARTA: Parti-parti politik di Indonesia hari ini bersetuju beberapa keistimewaan dan elaun untuk Ahli Parlimen ditarik balik, kata Presiden Prabowo Subianto.
Ia susulan protes dan rusuhan besar-besaran yang terus meruncing di seluruh Indonesia bagi menentang kerajaan atas isu seperti bayaran tambahan dan elaun perumahan untuk Ahli Parlimen.
Pergolakan yang semakin tegang itu mengakibatkan sekurang-kurang lima kematian dilaporkan dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Tunjuk perasaan semakin meluas yang bertujuan membantah sebilangan dasar kerajaan pimpinan Prabowo itu diburukkan lagi dengan insiden pertumpahan darah sehingga mencetuskan gelombang kemarahan.
Media sebelum ini melaporkan antara protes yang dilaung-laungkan oleh penunjuk perasaan ialah:
- Bantahan terhadap elaun tinggi Ahli Parlimen Indonesia
- Elaun perumahan bulanan baharu sebanyak 50 juta rupiah untuk Ahli Parlimen, yang hampir 10 kali ganda gaji minimum di ibu kota dan bandar terbesar Indonesia, Jakarta.
Rakyat berasa tidak puas hati dan bertambah marah apabila terbongkar bahawa Ahli Parlimen menerima elaun perumahan bulanan baharu sebanyak 50 juta rupiah.
Golongan pelajar dan aktivis menilai itu sebagai sangat sensitif secara moral, terutama ketika kebanyakan rakyat bergelut dengan kos hidup tinggi.
- Jangan bazir wang rakyat
Penunjuk perasaan melaungkan bahawa pembaziran wang rakyat melalui elaun besar itu memperlekehkan usaha kerajaan yang cuba melaksanakan penjimatan atau pengurusan bajet lebih berkesan. - Pembabitan lebih ramai anggota kanan tentera Indonesia dalam pentadbiran negara dan bagi menerajui syarikat milik kerajaan.
- Rancangan baharu Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) untuk menghidupkan semula garis panduan dasar negara yang telah dimansuhkan, menimbulkan kebimbangan bahawa ia akan melemahkan lagi demokrasi di Indonesia, dengan melonggarkan syarat tempoh had jawatan presiden.
- Tambahan Belanjawan 2025 hampir 50 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu bagi memantapkan aset ketenteraan Indonesia, dibantah sebagai membazir kerana keadaan ekonomi negara belum cukup kukuh.
- Tekanan ke atas akauntabiliti & ketidaksamaan
- Penunjuk perasaan antara lain bertindak melemparkan batu dan membakar tayar mencerminkan kemarahan mendalam terhadap jurang ketidaksamaan dan korupsi didakwa membabitkan golongan elit.
- Langkah penjimatan, pemotongan belanjawan dan perkhidmatan awam terjejas
- Selain isu elaun, orang ramai juga menyuarakan kemarahan terhadap langkah-langkah pemotongan bajet besar-besaran kerajaan. Ia dilihat menjejaskan pendidikan, kesihatan, dan perkhidmatan awam walhal sumber harusnya dilaburkan untuk rakyat, bukan elit politik.