
USAHA menarik pelaburan luar oleh pimpinan negara sangat pesat dilaksanakan.
Seringkali dilihat lawatan Perdana Menteri ke luar negara bersama rombongan rasmi kerajaan, dan menggunakan pelbagai saluran seperti forum ekonomi, dialog antarabangsa, perjumpaaan bersama ketua-ketua negara.
Kadangkala berlaku timbal balas seperti kunjungan balas atau kedatangan ketua-ketua pelabur ke negara kita.
Situasi ini berlaku dalam keadaan usaha untuk meningkatkan pelaburan dan pembangunan negara.
Apabila usaha ini mendatangkan hasil maka peluang pekerjaan akan dapat dipertingkatkan, kemudahan infrastruktur lebih baik akan dapat dilaksanakan, kesejahteraan hidup akan meningkat.
SITUASI DUNIA
Pada masa sama, negara juga tidak terlepas daripada cabaran ekonomi global seperti inflasi dan kenaikan harga makanan tenaga, dan barangan asas yang merupakan isu global yang semakin membimbangkan.
Situasi ini boleh menyebabkan ketidakstabilan ekonomi dalam jangka panjang, terutama jika tidak disertai dengan dasar fiskal dan monetari yang bersesuaian.
Kemajuan teknologi dan transformasi digital seperti kecerdasan buatan, automasi, dan big data membuka peluang besar untuk inovasi dan produktiviti.
Namun, di sisi lain, transformasi ini juga menimbulkan cabaran dalam bentuk penggantian tenaga kerja, ketidaksamaan pendapatan, dan keperluan untuk penyesuaian semula kemahiran pekerja.
Maka, negara perlu melabur dalam pendidikan dan latihan untuk memastikan tenaga kerja mampu bersaing dalam ekonomi yang semakin berasaskan teknologi.
Isu tenaga pula menjadi fokus utama dalam cabaran ekonomi global.
Pergeseran dari sumber tenaga fosil ke sumber tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja ditolak oleh keperluan untuk mengurangkan pelepasan karbon, tetapi juga oleh faktor kestabilan bekalan tenaga.
Kesan perubahan iklim yang semakin nyata, seperti banjir, kemarau, dan bencana alam lain, memberi tekanan tambahan terhadap sektor pertanian dan industri, sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
Dalam konteks persaingan geopolitik, dunia kini sedang menyaksikan pergeseran dalam struktur kuasa global.
Negara Amerika Syarikat, China, dan Rusia semakin mengambil peranan penting dalam menentukan hala tuju politik dan ekonomi antarabangsa.
Persaingan antara kuasa-kuasa besar ini sering melibatkan strategi untuk menguasai sumber daya, pasaran teknologi, dan laluan perdagangan penting.
Keadaan ini mewujudkan landskap geopolitik yang penuh dengan ketidakpastian dan risiko konflik.
Begitu juga potensi konflik serantau seperti ketegangan di Laut China Selatan boleh mengganggu laluan perdagangan utama yang penting bagi ekonomi dunia.
Malaysia turut menggunakan diplomasi ekonomi untuk memperkukuh pengaruh geopolitik dengan cara melalui perjanjian perdagangan, kerjasama teknologi, dan pelaburan strategik bagi membentuk hubungan politik dan ekonomi yang lebih erat.
Aspek ini juga bermakna negara-negara lain pun menggunakan strategi sama untuk mendapatkan kelebihan strategik dalam pasaran global.
SITUASI NEGARA
Di peringkat nasional, kestabilan politik adalah asas utama dalam memastikan kemakmuran sesebuah negara serta kesejahteraan rakyatnya.
Di tengah-tengah cabaran ekonomi global, persaingan geopolitik, dan isu dalaman yang kian mencabar, kepimpinan yang berintegriti dan sistem pentadbiran ampuh amatlah diperlukan.
Kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pembentukan Kerajaan Perpaduan bukan sahaja melambangkan usaha kerjasama politik strategik negara tetapi juga mencerminkan komitmen untuk membina masa depan yang lebih baik, stabil, dan makmur.
Di tengah-tengah usaha menarik pelaburan, dan usaha kerajaan meningkatkan tatakelola yang lebih terdapat desas-desus usaha atau percubaan ‘tebuk atap’ kali kedua.
Perkara terpancar oleh kenyataan wakil rakyat dan pengerusi PAS Perak baru-baru ini menyatakan usaha perlu dilakukan untuk mengambilalih kerajaan sebelum pilihan raya ke-16 akan datang.
Beberapa hari lalu, dilaporkan pula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita wang tunai lebih RM100 juta yang disyaki ada kaitan dengan dana politik, dalam serbuan terhadap sebuah rumah milik bekas pegawai kanan kepada bekas Perdana Menteri ke-9.
Siasatan terus dilakukan untuk mengenal pasti sama ada ia dana politik, kemungkinan rasuah atau sebagai pengubahan wang haram.
Sudah pasti banyak tafsiran politik berkenaan dengan tangkapan ini.
KEPENTINGAN KESTABILAN POLITIK
Sebenarnya kestabilan politik memberi impak langsung kepada pertumbuhan ekonomi.
Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar telah berjaya memperkenalkan dasar-dasar yang menyokong pelaburan, memperkukuh sistem kewangan, dan meningkatkan keyakinan pelabur dalam negeri serta antarabangsa.
Sebarang cubaan menggugat kestabilan ini, seperti usaha ‘tebuk atap’, berisiko mengganggu aliran pelaburan dan menjejaskan ekonomi negara.
Dalam suasana ketidakpastian, pelabur cenderung untuk menunda keputusan atau mengalihkan modal mereka ke negara yang lebih stabil, sekali gus memberi kesan negatif kepada penciptaan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.
Usaha memupuk kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi perlu difahami secara menyeluruh.
Kerajaan Perpaduan sedang melakukan usaha terbaik untuk merapatkan hubungan antara komponen politik dan mengurangkan berpolitik sepanjang masa.
Inilah masa untuk bekerja keras untuk membina negara yang lebih sejahtera dan makmur.
KEPIMPINAN DAN TATAKELOLA
Kepimpinan Anwar yang menekankan aspek tatakelola yang lebih baik, nilai integriti, keadilan, dan ketelusan yang menjadi simbol transformasi dalam sistem pentadbiran negara.
Kestabilan ini akan menjadikan rakyat lebih yakin terhadap proses demokrasi dan berasa terpelihara dalam menempuh kehidupan sosioekonomi mereka.
Sebaliknya, percubaan untuk ‘tebuk atap’ tidak hanya dianggap sebagai tindakan politik yang terdesak, menafikan amalan demokrasi yang sihat, malah boleh mencetuskan polarisasi yang akan merosakkan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.
Rakyat Sarawak pelbagai etnik sentiasa meraikan kepelbagaian etnik dan menolak permainan politik sempit perkauman penuh emosi.
Yang mereka mahu ialah pentadbiran yang konsisten, terancang, dan tidak tergugat oleh rancangan politik bersifat merosakkan.
Kepimpinan negara pada hari ini telah mendorong pelaksanaan dasar-dasar transformasi yang fokus kepada pembaharuan ekonomi, sosial, dan pentadbiran awam.
Kerajaan Perpaduan sedang dalam proses merealisasikan agenda reformasi yang diharapkan mampu mengurangkan ketidaksamarataan, mengutamakan keadilan sosial, memerangi rasuah, dan meningkatkan perkhidmatan awam.
Usaha ‘tebuk atap’ sering dikaitkan dengan percubaan menggugat kestabilan kerajaan, pastinya akan mengganggu momentum tersebut.
Setiap gangguan kepada proses transfrormasi ini berpotensi menyebabkan hambatan dalam pelaksanaan inisiatif penting dan menjejaskan kemampuan negara untuk bersaing dalam arena global.
Sesungguhnya, politik Malaysia, yang terkenal dengan kepelbagaian etnik, agama, dan budaya, memerlukan pimpinan yang dapat menyatukan perbezaan untuk kepentingan bersama.
Kerajaan Perpaduan merupakan platform yang membolehkan dialog dan kerjasama antara pelbagai pihak demi kestabilan dan kemajuan negara.
Sebarang percubaan ‘tebuk atap’ berpotensi mencetuskan konflik dan perpecahan bukan sahaja mengancam keamanan dalam negeri tetapi juga mengakibatkan pergolakan sosial.
Dalam konteks ini, menolak percubaan tersebut adalah penting untuk memastikan bahawa suara rakyat tidak terpecah belah dan negara dapat terus bergerak ke arah masa depan yang lebih inklusif dan harmoni.
KESIMPULAN
Kestabilan politik Kerajaan Perpaduan adalah kunci kepada pembangunan negara yang mampan.
Ia menjamin pertumbuhan ekonomi, memupuk kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi, memastikan kelangsungan reformasi, serta memelihara keharmonian dalam masyarakat.
Percubaan ‘tebuk atap’ kali kedua bukan sahaja mengancam kestabilan yang telah dicapai tetapi juga berisiko mencetuskan konflik tidak berkesudahan yang boleh menjejaskan masa depan negara.
Oleh itu, adalah penting bagi semua pihak untuk bersama-sama menolak sebarang usaha yang tidak demokratik demi memastikan keamanan, kemakmuran, dan keadilan untuk seluruh rakyat Malaysia.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).