MESKIPUN hanya menempuhi satu perlawanan persahabatan sepanjang tempoh rehat selama sebulan, Kuching City FC diyakini masih berada dalam landasan terbaik mempersiapkan diri bagi berdepan Selangor FC malam esok dalam kempen TM Piala Malaysia musim 2021.
Justeru, Ketua pasukan Kuching City, Joseph Kalang Tie yakin bahawa pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu masih lagi dahagakan perlawanan kompetitif sebelum berdepan aksi sebenar namun menganggap ia bukan alasan untuk tidak mencari solusi lain bagi memastikan skuad tetap bersedia dalam apa jua keadaan.
Jelasnya, Kuching City sepatutnya berdepan satu lagi aksi persahabatan menentang Negeri Sembilan FC sebelum ia terpaksa dibatalkan susulan pemain dan pegawai pasukan itu disahkan positif Covid-19.
“Dalam tempoh rehat selama sebulan ini, kami hanya sempat mengadakan satu perlawanan persahabatan sahaja menentang Melaka United pada minggu lalu dan aksi berdepan Negeri Sembilan pula terpaksa dibatalkan.
“Kalau boleh memang kami nak bermain lagi sebab tidak cukup satu aksi sahaja, tetapi bagi saya ia bukan alasan untuk kami tidak melakukan persediaan rapi walaupun tanpa perlawanan persahabatan yang mencukupi,” katanya.
Ujarnya lagi, lawan Selangor FC nanti bukannya perlawanan mudah namun beliau tidak mahu memikirkan status lawan kerana apa yang penting adalah fizikal dan mental pasukan, jadi sebolehnya Kuching City ingin elak sebarang tekanan fikirkan kekuatan lawan.
Joseph yang pernah beraksi bersama Selangor FC bagaimanapun mengharapkan kehadiran mereka di pentas berprestij kali ini bukan hanya sekadar pelengkap sambil menyifatkan pasukan masih berpeluang untuk mengejar slot suku akhir.
“Banyak lagi yang kita kena perbaiki selepas pasukan seri dan tewas dalam dua perlawanan terdahulu, tetapi saya percaya dengan pengalaman yang saya dan pemain-pemain lain ada akan membantu Kuching City.
“Walaupun kami masih baharu dalam saingan ini, tetapi saya harap ada orang akan ingat yang Kuching City juga antara pasukan yang mampu jadi perhatian dalam TM Piala Malaysia dan saya sendiri ingin beri yang terbaik kepada pasukan.
“Saya juga ingin penyokong tahu bahawa walaupun kami mungkin hadir sebagai pasukan yang kecil, namun impian kami besar untuk lihat pasukan mara sejauh mungkin,” tambahnya.
Oleh ADI SAFARMAN