
PADAWAN: Kerajaan disaran menilai semula kadar bayaran perkhidmatan kakitangan perubatan, khususnya doktor dan jururawat, bagi mengelakkan penghijrahan tenaga kerja ke luar negara.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, menegaskan bahawa kadar bayaran pengamal perubatan am (GP) tidak berubah selama 30 tahun walaupun kos sara hidup meningkat.
“Keadaan ini menyebabkan ramai doktor muda memilih untuk bekerja di luar negara yang menawarkan gaji lebih tinggi dan faedah lebih baik.
“Contoh negara seperti Belanda dan negara Eropah kini aktif merekrut tenaga perubatan asing akibat populasi yang semakin tua.
“Jika Malaysia tidak mengambil langkah sewajarnya, negara bakal menghadapi kekurangan doktor dan jururawat yang serius. Apa gunanya fasiliti perubatan kita canggih dan berkualiti tetapi tiada tenaga kerja yang mencukupi,” katanya ketika ditemui media selepas majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Kanak-Kanak di Majlis Perbandaran Padawan (MPP) di sini, hari ini.
Dr Sim menyokong cadangan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Kalwinder Singh Khaira, sebelum ini dalam kenyataannya, mencadangkan caj konsultasi dinaikkan kepada RM60 dan diselaraskan secara berkala setiap tiga tahun untuk mengimbangi inflasi.
“Peningkatan kos perubatan bukan berpunca daripada bayaran perkhidmatan doktor semata-mata, tetapi juga faktor lain seperti sewa premis dan kos operasi klinik.
“Justeru, kerajaan perlu bertindak segera dalam menyemak kadar bayaran doktor bagi mengekalkan tenaga perubatan tempatan dan memastikan sistem kesihatan negara terus berfungsi dengan baik,” jelasnya.
Oleh Masrin Affirah