AWANG KUSHAIRY JUNAIDI
LAWAS: Belilah dengan berhemah dan atur perbelanjaan dengan bijak agar tidak membazir, di saat ketika menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 2 sekarang.
Pada masa yang sama, penduduk, terutamanya suri rumah di daerah ini usahlah panik sehingga membeli keperluan dalam jumlah yang banyak.
Ini kerana, bekalan makanan seperti ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran serta keperluan lain adalah mencukupi.
Tinjauan Utusan Sarawak di Pasar Besar Lawas, semalam, mendapati bekalan sayur-sayuran adalah banyak dan mampu untuk menampung keperluan penduduk di sini.
Menurut beberapa peniaga yang ditemui, bekalan sayur seperti kobis dan lain-lain kebanyakan didatangkan dari Sabah, yang mana bekalan dihantar dua kali seminggu.
Bagi bekalan sayur-sayuran hijau, termasuk cili, halia dan sebagainya adalah daripada pembekal tempatan, yang dihantar tiga atau empat kali seminggu.
Pasar Besar Lawas juga menempatkan peniaga ikan dan bekalan ikan sentiasa ada untuk menampung keperluan penduduk di daerah ini.
Bagi bekalan ayam pula, peniaga turut memberi jaminan bekalannya adalah mencukupi.
Ada dalam kalangan peniaga ayam ini mendapatkan bekalan dari Sipitang, Sabah, atau menjual sayap ayam beku tempatan, sekiranya belum menerima bekalan.
Selain itu, terdapat juga beberapa peniaga yang menjual kuih-muih.
Pada mulanya (sejak PKP Tahap 1 bermula), mereka ini tidak menjalankan perniagaan sehingga dua hari, kerana khuatir melanggar perintah berkenaan.
Setelah menyedari peniaga makanan juga dibenarkan beroperasi, barulah mereka membuka gerai semula.
Sehubungan itu, penduduk Lawas, terutamanya ketua keluarga yang keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, diingatkan supaya tidak perlu panik dan risau.
Mereka dinasihatkan agar berbelanjalah dengan bijak dan tidak mudah untuk percaya dengan berita atau maklumat palsu yang disebarkan, mengenai bekalan makanan yang terputus.
Sebagai langkah mencegah penularan wabak Covid-19, Majlis Daerah Lawas (MDL) juga mengeluarkan notis iaitu waktu operasi bagi Pasar Besar Lawas dipendekkan dari jam 7 pagi hingga 5 petang. MDL juga memasang beberapa panduan untuk mereka yang berkunjung ke pasar berkenaan, agar menjaga jarak iaitu satu meter di antara satu sama lain.