

-Foto kredit ADUN SimanggangÂ
SIMANGGANG: Bazar Ramadan bukan sekadar tempat membeli juadah berbuka, tetapi juga medan mendidik masyarakat mengenai kepentingan berbelanja secara bijak dan mengelakkan pembaziran.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis yang turun padang meninjau suasana Bazar Ramadan anjuran Jawatankuasa Usahawan Simanggang (JUS) petang semalam, menekankan kepentingan sikap berhemat dalam membeli makanan.
Orang ramai dinasihati supaya lebih bijak dalam memilih juadah berbuka bagi mengelakkan makanan daripada terbuang.
“Juadah di bazar sangat menarik dan menyelerakan, tetapi kita perlu kawal keinginan dan elak membeli secara berlebihan. Ketika lapar, semuanya nampak sedap, tetapi selepas berbuka, banyak yang tidak habis dan akhirnya dibuang.Â
“Ini satu pembaziran yang boleh dielakkan,” katanya.
Beliau turut memuji kelancaran operasi bazar serta tahap kebersihan yang baik di dua lokasi penganjuran Bazar Ramadan di Bandar Simanggang.
Menurutnya, kehadiran ramai peniaga dan pengunjung menunjukkan perkembangan positif dalam ekonomi tempatan, yang memberikan peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan pendapatan sepanjang Ramadan.
OLEH ADI SAFARMAN