KUALA LUMPUR: Warga Malaysia di Washington DC dan kawasan sekitarnya diingatkan sentiasa berwaspada, menghindari kawasan protes, dan mematuhi garis panduan serta arahan keselamatan oleh pihak berkuasa tempatan berikutan kebimbangan keselamatan di ibu negara Amerika Syarikat (AS) itu.
Kedutaan Malaysia di AS berkata perlu untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia, selaras dengan garis panduan dikeluarkan pihak berkuasa di Washington DC.
“Setakat ini, Kedutaan Malaysia belum menerima laporan dari warga Malaysia mengenai masalah (keselamatan).
“Namun demikian, Kedutaan di Washington DC, serta pejabat Ketua Konsulat di New York dan Los Angeles akan terus memantau perkembangan dan menasihati rakyat Malaysia, termasuk pelajar, dari semasa ke semasa,” kata kedutaan itu kepada Bernama melalui aplikasi WhatsApp.
Kedutaan mengatakan ini sebagai tindak balas terhadap laporan media mengenai tunjuk perasaan yang dirancang di semua 50 ibu negeri AS menjelang pelantikan rasmi Joe Biden sebagai Presiden pada 20 Januari.
Kedutaan, bagaimanapun, berkata Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menyatakan kebanyakan berita berkenaan hanyalah spekulasi, dan pihak berkuasa AS telah meningkatkan langkah keselamatan demi keselamatan orang ramai.
“Secara keseluruhan, keadaan keselamatan di Washington DC dan Amerika Syarikat pada umumnya terkawal.
“Darurat telah dipersetujui Presiden Amerika Syarikat (Donald Trump) dengan perintah Datuk Bandar Washington DC, untuk meminta bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan.
“Dengan sokongan agensi persekutuan, Washington DC akan dapat membuat persiapan lebih baik untuk perasmian bakal Presiden Joseph Biden pada 20 Januari 2021,” tambah kenyataan itu.
Tindakan sekumpulan penyokong Trump yang menyerbu banguna Capitol pada 6 Januari mendapat liputan meluas. Kumpulan itu dilaporkan bertempur dengan polis dan merosakkan harta benda. Ia berlaku setelah Trump mendesak penyokongnya membantah memprotes pengesahan keputusan pilhan raya oleh Kongres. Trump mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya.
Menurut kedutaan, sehingga kini, pihaknya belum menerima laporan mengenai pelajar Malaysia yang mengalami kesukaran mendapatkan makanan atau keperluan asas.
Jabatan Hal Ehwal Pelajar di Kedutaan juga berhubung dengan para pelajar dan akan menghubungi mereka untuk membantu sekiranya diperlukan, tambah kenyataan itu.
Mereka yang memerlukan bantuan konsular dari Kedutaan atau pejabat Ketua Konsulat boleh menghubungi melalui e-mel: mwwashington@kln.gov.my / consularwdc@kln.gov.my atau menghubungi talian: + 1- 202-572-9700.
Maklumat Konsulat Malaysia di AS adalah seperti berikut:
Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles Telefon: +1.213.892.1238, E-mel: mwlosangeles@kln.gov.my; dan Konsulat Jeneral Malaysia di New York Telefon: +1 (212) 490 2723, E-mel: mwnewyork@kln.gov.my.
Di Washington, Dewan Amerika Syarikat (AS) semalam mengundi untuk mendakwa Presiden Donald Trump atas perbuatan ‘menghasut untuk melakukan pemberontakan’ menjadikan beliau presiden pertama didakwa sebanyak dua kali, lapor Agensi Berita Xinhua.
Walaupun jumlah Demokrat yang menyokong usul pendakwaan sudah mencukupi ia ditambah lagi dengan 10 Republikan yang turut memberikan undi bersetuju.
Keadaan itu berbeza ketika kali terakhir Dewan mengundi usul untuk mendakwa Trump pada Disember 2019, menyaksikan tiada perwakilan Republik menyokong. Jumlah undi yang dikemukakan ahli dewan pada Rabu ialah 232 menyokong dan 197 menentang.
“Resolusi (pemecatan) diterima. Tanpa bantahan, usul dipertimbangkan semula,” kata Speaker Nancy Pelosi.
Memulakan perbahasan mengenai perkara pendakwaan, Pelosi memetik rusuhan Capitol oleh penyokong Trump minggu lalu dan presiden “menghasut pemberontakan ini, pemberontakan terhadap negara kita.” “Dia harus berundur. Dia boleh membawa bahaya kepada negara yang kita semua cintai,” tambahnya.
Menurut beberapa ahli Republikan yang menyokong Trump, tindakan Demokrat itu akan menyumbang kepada memecah belahkan lagi negara.
“Pendapat saya mereka terlalu cepat untuk menghakimi dan tidak mematuhi proses yang sepatutnya. Tiada perbicaraan, tiada saksi, tiada proses atau ruang diberikan kepada presiden,” kata anggota Jawatankuasa Peraturan Dewan, Tom Cole semasa perbahasan.
Pemimpin Minoriti Dewan Kevin McCarthy mengakui Trump “bertanggungjawab atas kejadian di Capitol itu, tetapi kurang sesuai untuk mengambil tindakan dalam masa terlalu singkat.”
Beliau berkata semua perlu bersatu padu dan sepatutnya “kita harus merebut peluang ini untuk memperbaiki keadaan dan mengelak ia menjadi lebih parah.”-Bernama