SPAOH: Pemimpin masyarakat tidak boleh membiarkan diri mereka dijadikan alat oleh pembangkang untuk menabur fitnah perpecahan, ketidakpercayaan terhadap kerajaan dan menyebarkan pembohongan di kalangan rakyat, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah.
Tegasnya, pemimpin masyarakat adalah mata dan telinga Kerajaan Negeri dan tugas utama mereka adalah untuk menyatu padukan rakyat dan membawa ke arus perdana pembangunan.
“Oleh itu, apa sahaja masalah yang dihadapi rakyat, anda haruslah menyampaikan kepada kerajaan melalui wakil rakyat.
“Marilah kita bersama-sama dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian yang baik kerana Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa bersama rakyat dan anda semua,” katanya.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata demikian ketika melancarkan Program Kepolisan Komuniti untuk pemimpin Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di sini, kelmarin.
Katanya, pemimpin masyarakat yang terdiri daripada Temenggong hingga ke Pemanca, Penghulu, Tuai Rumah, Ketua Kampung atau Ahli Majlis adalah sebahagian daripada jentera kerajaan.
“Apa yang mengganggu adalah terdapat seorang atau dua yang menganggap media sosial sebagai platform penyelesaian.
‘Dan yang paling teruk, isu-isu yang disiarkan hanyalah tuduhan atau pembohongan mengenai kerajaan yang mana berita palsu ini dapat menimbulkan kegelisahan dan keprihatinan dalam kalangan mereka yang lebih mudah tertipu,” tegasnya sambil menyifatkan tindakan itu sangat tidak wajar dilakukannya sebagai pemimpin akar umbi.
Sementara itu Uggah, yang juga merupakan Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah menyeru semua pemimpin masyarakat mempelajari mengenai program dan rancangan pembangunan kerajaan terutama dalam bidang pertanian moden.
Pada majlis itu Uggah turut menyerahkan pampasan tanah berjumlah RM501,749.40 kepada 12 peserta yang tanahnya telah diambil untuk pembinaan Bebuling STOLport di sini.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Dr Richard Rapu, Residen Betong Friday Belik dan Penguasa Tanah dan Survei Betong Anthing Aboi.
Oleh Zarina Abdullah