
BETONG: Rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, agama dan budaya bertuah kerana dapat meraikan pelbagai sambutan perayaan dalam keadaan aman dan harmoni.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata keunikan tersebut, yang wujud sejak turun-temurun, telah menjadikan Sarawak terkenal sebagai negeri contoh dalam melambangkan perpaduan dan keharmonian dalam kepelbagaian.
“Paling penting bagi kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya, jauhilah segala isu-isu sensitif seperti agama dan perkauman ekstrem yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat. Ia amatlah penting untuk kita menghindari segala isu sensitif dan terus memupuk semangat perpaduan yang terjalin sejak sekian lama dalam masyarakat di Sarawak,” katanya ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong anjuran Lembaga Khairat dan Amanah Melayu Betong (LKAMB) di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini, semalam.
Beliau menambah, masyarakat di Sarawak amnya dan di Betong khasnya amat bertuah terutamanya di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana keprihatinannya terhadap keperluan rakyat.


“Seperti yang kita lihat, segala pencapaian pada hari ini bukan sahaja memperlihatkan visi strategik oleh Premier, tetapi ia juga adalah komitmen beliau bagi memastikan kesejahteraan kita sebagai rakyat di Sarawak,” jelasnya.
Richard berkata, baru-baru ini satu langkah besar yang diambil oleh Premier adalah Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak (SDE) 2030, iaitu satu inisiatif mentransformasikan ekonomi Sarawak kepada ekonomi berasaskan teknologi mampan.
“Melalui pelan ini, kerajaan Sarawak berusaha memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif sekali gus menjana peluang pekerjaan meningkatkan produktiviti dan meluaskan akses kepada pendidikan serta perkhidmatan sosial,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM20,000 daripada Uggah dan beliau sendiri (RM10,000) kepada jawatankuasa penganjur bagi membiayai sebahagian kos penganjuran majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong, tahun ini.
Ahli Parlimen Betong itu turut mengumumkan sumbangan RM4,000 kepada surau-surau, RM5,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan RM7,000 untuk masjid-masjid di kawasan Kampung Melayu Betong.
Pengerusi LKAMB, Abang Borhanuddin Abang Ahmad Masunie berkata majlis kali ini merupakan edisi keempat dianjurkan dengan kerjasama LKAMB dan Jawatankuasa Ketua-Ketua Kampung Melayu Betong dan Persatuan Penduduk Kampung Melayu Betong (PPKMB) sejak 2022.
“LKAMB bersama masyarakat, khususnya jawatankuasa pengurusan dan pentadbiran Masjid Jamek Betong telah berjaya mengadakan pelbagai aktiviti bagi mengeratkan silaturahim masyarakat Islam dan Melayu di Betong.
“Setakat ini, LKAMB telah menganjurkan beberapa aktiviti seperti pertandingan bola sepak antara surau serta pertandingan pintu gerbang di Kampung Melayu Betong. Untuk perancangan masa depan, pihak kita akan menjemput kampung-kampung lain seperti Kampung Tanjung Assam, Kampung Balingan serta di Kampung Semumok,” ujarnya.
Selain itu, turut disampaikan sumbangan daripada LKAMB berjumlah keseluruhan RM80,000 kepada lima surau (RM10,000 setiap surau), sebuah masjid (RM15,000), Persatuan Silat Betong (RM5,000) dan PPKMB (RM10,000).
Turut hadir Residen Bahagian Betong Richard Michael Abu Nawas, Timbalan Residen Bahagian Betong Hamdan Katang, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh, Penghulu Abang Suhailie Abang Pay serta sekitar 3,000 penduduk dari kawasan Kampung Melayu Betong.
Oleh Adi Safarman