Screenshot
KITA sudah berada di musim monsun timur laut yang kebiasaannya berakhir pada pengujung Mac setiap tahun dan kita akan memasuki fasa peralihan monsun pada April dan Mei.
Fasa peralihan monsun akan membawa keadaan cuaca yang didominasi oleh sistem perolakan tempatan yang biasanya akan membawa ribut petir dan hujan lebat pada waktu singkat dan berpotensi menyebabkan banjir kilat.
Keadaan ini lebih menyerlah di pantai barat Semenanjung Malaysia.
Dalam kita beralih ke fasa musim peralihan monsun dan seterusnya musim monsun barat daya, keadaan cuaca di Malaysia akan dipengaruhi oleh keragaman iklim terutama Ayunan Maden – Julian atau Madden- Julian Oscillation (MJO).

Semasa artikel ini ditulis, keadaan cuaca di Malaysia agak panas terutama di bahagian utara Semanjung Malaysia disebabkan oleh dominasi fasa perolakan terhalang oleh fenomena MJO di seluruh rantau Asia Tenggara, seperti yang diramalkan oleh Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat.
Penjelasannya, mengapa keadaan cuaca panas semasa fasa perolakan MJO ini mudah: rantau ini didominasi oleh tekanan atmosfera tinggi, menghalang perolakan berlaku, kurang hitupan awan, dan seterusnya meningkatnya pancaran matahari sampai ke permukaan bumi dan peningkatan penyerapan haba.
Ketiadaan hujan juga mengurangkan proses penyejukan melalui proses penyejatan, dan ini boleh menyebabkan gelombang haba. Kebiasaannya, keadaan ini hanya bersifat sementara, di mana pusat perolakan terhalang ini akan bergerak ke timur dalam 1 – 2 minggu dan diganti pula dengan pusat perolakan di tingkat menyusul.
Dalam kita beralih ke fasa musim peralihan monsun juga, kita juga berada di fasa terakhir fenomena La Niña yang berlaku sejak pertengahan 2025, dan seterusnya keadaan ayunan El Niño– Southern Oscillation (ENSO) akan beralih ke fasanormal atau neutral.
ENSO adalah ayunan semula jadi yang dijana oleh interaksi gandingan atmosfera-lautan di Lautan Pasifik. ENSO berayun secara kurang menentu antara El Nino, La Nina dan normal, dengan El Nino – La Nina berulang dalam tempoh sekali dalam 2 – 5 tahun kitaran.
Lautan Pasifik adalah lautan terbesar dan ayunan ENSO ini mempengaruhi cuaca dan iklim di seluruh pelusuk dunia. Fasa El Niño berupaya meningkatkan suhu dunia, di mana 2024 diisytiharkan sebagai tahun terpanas dunia akibat pemanasanglobal dan juga El Niño.
Suhu dunia pada 2024 mencecah 1.55°C berbanding suhu aman pra-perindustrian Eropah. Suhu pada 2025 sedikit menurun berbanding 2024 kerana pengaruh La Nina yang boleh menurunkan suhu dunia.
Tetapi akibat pemanasan global yang terus meningkatkan suhu dunia, suhu dunia pada pada 2025 adalah ketiga paling terpanas.
Bagaimana pula tahun 2026, adakah 2026 ini akan dijangka tahun terpanas direkodkan? Jawapan saya, kebarangkaliannya tinggi.
Ini kerana menurut ramalan Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat, El Niño akan kembali pada 2026 ini, sekitar Julai – Ogos, dan berkembang sehingga penghujung tahun dan awal 2027, dan mula menurun pada Mac – April tahun hadapan, sebelum berakhir pada Mei tahun depan.

Menurut ramalan, kebarangkalian El Niño muncul pada musim-musim barat daya ini adalah melebihi 70 peratus dan kebarangkalian ini meningkat sekitar 80 – 90 peratus sehingga penghujung tahun ini.
Bagaimana El Niño berlaku dan bagaimana ia mempengaruhi keadaan cuaca dan iklim di Malaysia dan rantau Asia Tenggara? Ini adalah subjek kegemaran saya semasa bertahun-tahun mengajar di Universiti Kebangsaan dahulu dan di Universiti Brunei Darussalam kini.
Penyelidikan PhD saya di University of British Columbia, Kanada, hampir 30 tahun lepas sebenarnya adalah meramal El Niño, dan sejak kembali ke UKM pada 1997 sehingga bersara pada 2023, penyelidikan saya dan kumpulan di UKM banyak menumpu kepada El Niño dan bagaimana El Niño mempengaruhi cuaca dan iklim di Malaysia dan rantau ini termasuk Indonesia.
Penyedidikan saya di University of British Columbia dapat menghasilkan model ramalan yang selepas itu digunakan sebagai salah satu model ramalan El Niño di Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat sehingga pada 2018 apabila digantikan dengan pelbagai model yang lebih canggih.
Mengapa El Nino boleh mempengaruhi cuaca di Malaysia dan rantau Asia Tenggara mengambil kira Lautan Pasifik beribu kilometer jauhnya. Ia berkaitan dengan corak peredaran atmosfera timur-barat yang dipanggil Peredaran Walker atau Walker Circulation.
Dalam keadaan normal, rantau Asia Tenggara didominasi oleh tiupan angin timuran dari Lautan Pasifik dan angin baratan dari Lautan Hindi menjadikan rantau Asia Tenggara sebagai kawasan penumpuan kelembapan dari kedua-dua lautan ini.
Bagaimanapun, semasa fenomena El Niño berlaku, peningkatan suhu di bahagian timur dan tengah Lautan Pasifik melemahkan angin timuran yang meniup ke arah rantau Asia Tenggara, menyebabkan rantau ini beralih kepada rantau bertekanan tinggi dan kelembapan akan bergerak dari kawasan ini menuju kebahagian tengah Lautan Pasifik dan barat Lautan Hindi.
Penerangan mekanisme mengapa El Niño ini berlaku agak kompleks untuk diterangkan dalam ruang artikel sebegini. Tetapi ia terkait dengan jongkang-jongkit lapiran termoklin di Lautan Pasifik.
Lapisan termoklin adalah lapisan yang memisahkan air laut bersuhu tinggi dan air sejuk di bahagian kedalaman lautan.
Di bahagian barat Pasifik, kedalamannya sekitar 200 – 300 m, manakala di bahagian timur sekitar 50 meter.
Jika kita boleh bayangkan keratan rentas Lautan Pasifik, lapisan termoklin ini seakan-akan jongkang-jongkit, dan kedalamannya dikawal oleh satu gelombang yang dikenali sebagai gelombang Kelvin yang bergerak dari bahagian barat ke timur Lautan Pasifik.
Tanda-tanda El Niño akan berlaku apabila lapisan ini tertekan ke bawah, manakala tanda-tanda La Niña akan berlaku apabila ia terangkat ke atas berbanding kedalaman normal.
Lapisan termoklin yang tertekan di bahagian timur, akan melemahkan proses penyejutan air sejuk ke permukaan laut ‘upwelling’ di bahagian timur Lautan Pasifik.
Kedaan ini akan meningkatkan suhu laut di kawasan berkenaan dan seterusnya memulakan kemunculan tanda-tanda El Nino berlaku dipermukaan luat.
Sehingga ini, tanda-tanda ini baru saja bermula di permukaan laut di bahagian timur Lautan Pasifik. Di bahagian kedalaman Lautan Pasifik keadaan gawat, seperti api dalam sekam, penurunan termoklin ini agak menyeluruh dan drastik dari barat ke timur Lautan Pasifik.
Pengalaman saya sebagai penyelidik berkaitan El Niño selama lebih tiga dekad berpendapat kita berkemungkinan berdepan El Niño terintensi kuat tahun ini sehingga awal tahun depan.
Tambalan pula Indian Ocean Dipole (IOD) berfasa positif juga diramal penguhung tahun ini. Kita berdepan dengan malapetaka cuaca kering, kebakaran hutan dan fenomena jerebu tahun ini dan awal tahun. Kita perlu bersedia.
Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang ialah Profesor Emeritus dalam bidang klimatologi dan perubahan iklim di Universiti Kebangsaan Malaysia, Felo Akademi Sains Malaysia, dan kini bertugas di Universiti Brunei Darussalam. Beliau merupakan bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1 Panel Antara-Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).