KUCHING: Sarawak mencatatkan peningkatan 1.5 peratus dalam eksport kayu dan produk kayu pada suku ketiga 2024 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.1 bilion.
Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Zainal Abidin Abdullah berkata, angka ini menunjukkan kenaikan berbanding nilai eksport RM1.18 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan ini dipacu oleh permintaan dari pasaran utama seperti Jepun, India, Asia Barat, China dan Taiwan.
“Namun, cabaran berkaitan sumber bahan mentah terus dihadapi, tetapi Sarawak optimis dapat mencapai sasaran eksport lebih RM2 bilion menjelang 2025, berbekalkan sumber bahan mentah lestari dari ladang hutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sesi libat urus bersama pemegang taruh bagi pembangunan dokumen pelan tindakan PUSAKA dalam industri pembuatan untuk PKS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, hari ini.
Zainal Abidin berkata selain itu, kerajaan Sarawak melalui PUSAKA memperkenalkan inisiatif baharu untuk menghasilkan produk nilai tambah seperti kayu palet yang mesra alam bagi penjanaan tenaga elektrik.
Katanya, langkah ini sejajar dengan aspirasi negeri untuk beralih daripada penggunaan arang batu dalam sektor tenaga.
Selain itu tambahnya, bagi memperkukuh nama Sarawak di peringkat antarabangsa, kerajaan merancang pembangunan taman industri perabot yang berintegrasi.
“Inisiatif ini bertujuan menggalakkan penghasilan produk kayu dan perabot berkualiti tinggi yang mampu membawa jenama Sarawak ke pasaran global, serupa dengan konsep jenama IKEA,” katanya.
Pada masa sama katanya, pihak industri perabot dari Semenanjung Malaysia turut menunjukkan minat untuk melabur di Sarawak, berikutan sumber bahan mentah yang mampan.
Langkah ini katanya dilihat dapat menyumbang kepada sasaran nilai eksport RM8 bilion menjelang 2030.-EDISI UKAS