MUAR: Eksport minyak sawit negara ke Turki disasar mencecah satu juta tan setahun mulai tahun depan berbanding 500,000 tan pada masa ini, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Menurutnya, ini susulan lawatan beliau serta pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU) dengan negara tersebut, baru-baru ini.
Beliau optimis angka tersebut mampu dicapai selain kedudukan Turki sebagai pintu masuk ke negara lain di rantau Timur Tengah, Balkan serta Eropah Timur.
“Turki adalah satu destinasi yang sangat penting untuk pasaran sawit kita…Insya-Allah, kita mampu mencapai sasaran satu juta tan setahun bermula tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di SKT Banquet Hall 68, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan Pegawai Kesihatan Daerah Mua, Dr Noorhaidah Ujang.
Selain itu, Mohd Khairuddin berkata, seramai 21,703 pekerja telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di tiga pusat PPVIN di bawah Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (VACOMS) setakat semalam.
Program bermula pada 1 Julai lepas itu yang turut dijalankan di PPVIN Ladang Tennamaram dan PPVIN Olak Lempit, Selangor, bertujuan mempercepatkan usaha pemberian vaksin kepada barisan hadapan ekonomi, khususnya agrikomoditi.
“PPVIN ketiga di Muar ini turut dilaksanakan di bawah Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bermula 2 Ogos lepas dan menyasarkan vaksinasi untuk 30,000 pekerja,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata, pihaknya kini dalam proses mengemukakan permohonan kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi membuka PPVIN untuk kemudahan vaksinasi seramai 30,000 pekerja sektor getah.- Bernama