BILA bercakap tentang hasil hutan jauh dalam minda kita adalah kayu balak. Memang sektor pembalakan ini memberi banyak keuntungan kepada negeri Sarawak hingga ke hari ini.
Namun demikian balak bukan satu-satunya barangan dagangan penting pada masa lalu. Penduduk Sarawak telah mencari hasil hutan bukan setakat kegunaan sendiri malahan ia menjadi barang dagangan diminati oleh perdagang asing.
Santubong
Pada sekitar abad ke-7 misalnya, Santubong menjadi pusat perdagangan utama yang menjadi pintu masuk barangan luar ke Sarawak dan barangan Sarawak ke luar.
Pedagang-pedagang asing, terutama dari China, datang ke Santubong untuk mendapat hasil hutan yang mereka minati.
Antara item-item barangan hasil hutan di Sarawak yang dikumpul untuk diperdagangkan oleh penduduk Sarawak ini adalah bulu burung raja udang, batu bezoar, sumbu badak, kapur barus, gading burung kenyalang, damar, rotan dan sarang burung. Manakala hasil laut juga didagangkan seperti telur penyu.
Aktiviti pengumpulan hasil hutan dan didagangkan ke luar Sarawak diteruskan sehingga kedatangan James Brooke ke Sarawak.
Ketika itu, iaitu abad ke-19, Sarawak terkenal dengan pengeluaran antimoni dan emas tetapi hasil hutan tetap menjadi item penting dalam menjana ekonomi Sarawak semasa pemerintahan Brooke di Sarawak.
Pada peringkat awal item perdagangan ini membantu pembangunan ekonomi Sarawak. Pembukaan Singapura sebagai pelabuhan bebas memacukan perkembangan ini. Selain hasil galian Sarawak yang didagangkan di Singapura beberapa item hasil hutan menjadi keutamaan.
Revolusi telekomunikasi
Pada pertengahan abad ke-19 ini juga berlaku revolusi dalam aspek telekomunikasi. Perkembangan telekomunikasi dunia ketika itu memerlukan pembinaan kabel bawah laut. Ketika itu lateks (susu getah) dari pokok getah belum lagi menjadi bahan utama dalam membantu perkembangan telekomunikasi ini. Satu-satu item penting untuk membuat penyalut kabel telekomunikasi dasar laut ini datang dari lateks pokok gutta percha.
Oleh itu Sarawak mempunyai simpanan gutta percha yang banyak, dan ia menjadi kegiatan utama penduduk pedalaman terutama masyarakat Iban, Kayan dan Kenyah untuk mengumpulkannya. Masyarakat ini bergerak sehingga ke kawasan negara jiran untuk mendapat hasil hutan ini. Manakala pedagang Melayu dan Cina pula menjadi orang tengah untuk berhubungan dengan penduduk pedalaman bagi urusan jual beli. Selepas itu hasil-hasil dagangan hutan itu dibawa pula ke peringkat antarabangsa oleh pedagang Cina. Selain gutta percha ini terdapat juga jelutong sebagai eksport utama Sarawak.
Jelutong pula merupakan pokok kayu yang membantu penghasilan kayu-kayu ukiran seperti pensil, kotak-kotak dan perabot. Apa yang menariknya mengenai lateks pokok jelutong ini ialah ia membantu pula perkembangan industri gula-gula getah. Sekitar tahun 1850-an perusahaan gula-gula getah mula diperkenalkan dan dikembangkan oleh John B. Curtis. Kesan daripada perkembangan ini membawa kepada pemintaan tinggi kepada lateks pokok jelutong.
Isu penipuan
Diakhir pemerintahan James Brooke, eksport hasil hutan ini telah berkembang dan membantu pengukuhan ekonomi Sarawak. Dalam senarai keluaran barangan eksport utama Sarawak dari keluaran hasil hutan telah mencatatkan gutta percha dan sarang burung sebagai hasil dagangan utama selain barangan eksport lain Sarawak.
Dalam senarai itu juga eksport rotan dan getah liar juga tersenarai dalam eksport Sarawak. Hasil yang mengalakkan dari hutan Sarawak ini menyebabkan galakan diberi kepada penduduk tempatan, terutama penduduk pedalaman Sarawak untuk mencari hasil hutan ini.
Dalam hal ini Charles Brooke mengalakkan orang Iban melakukan usaha mengumpul dan mengutip hasil hutan di kawasan-kawasan baharu yang Sarawak perolehi daripada Brunei seperti Baram, Limbang dan Lawas.
Dalam keghairahan mengumpul dan memperdagangkan hasil hutan ini timbul juga isu penipuan dalam timbangan gutta percha ini. Sikap mengejar keuntungan ini telah mencampurkan serbuk kayu untuk menambah berat gutta percha. Kesan daripada tindakan ini menyebabkan aduan daripada pembeli di Singapura. Akibatnya nilai jualan gutta percha menurun. Langkah telah diambil oleh kerajaan Brooke menerusi Order No.111, 1902 untuk mengena hukuman kepada tindakan tidak bertanggung jawab ini.
Dalam keghairahan mendapat keuntungan ini juga menyebabkan beberapa kerosakan berlaku keatas pokok-pokok jelutong. Kerosakan ini berlaku apabila penoreh melakukan torehan yang tidak cermat dan merosakkan pokok-pokok jelutong. Atas sebab itu usaha dilakukan untuk memberi permit kepada penoreh ini bagi mengawal kerosakan kepada pokok jelutong. Tambahan daripada itu dikeluarkan pekeliling tentang cara-cara penorehan yang betul untuk pokok jelutong. Denda juga dikenakan kepada sesiapa yang melanggar peraturan ini. Larangan juga dibuat keatas penebangan pokok jelutong.
Hasil turun naik
Kepentingan hasil hutan Sarawak ini menjelang abad ke-20 mula berkurangan. Ini kerana beberapa hasil bumi dan pertanian Sarawak mula ke hadapan dalam senarai eksport Sarawak seperti minyak, lada dan sagu.
Namun demikian pengeluaran hasil hutan ini masih lagi didagangkan dengan jelutong tersenarai sebagai salah satu hasil dagangan yang utama dalam kebanyakan hasil keluaran hutan Sarawak.
Sebuah kilang penapisan telah didirikan di Bintulu untuk memproses jelutong mentah. Jelutong mentah diproses dan dieksport ke Amerika Syarikat. Pengeluaran jelutong ini meningkat lewat tahun 1940-an dan awal tahun 1950-an. Kemudian ia naik semula pada awal tahun 1960-an.
Pada tahun 1962, Sarawak mengeksport 15 tan jelutong mentah, 296 tan jelutong yang ditapis dan 237 tan jelutong yang disulingkan dengan jumlah nilai eksport adalah $ 1 ¾ juta.
Bantu majukan tamadun
Salah satu lagi hasil hutan yang menempatkan nama dalam eksport Sarawak adalah buah engkabang. Berbeza dengan kegunaan buah ini dalam kalangan penduduk Sarawak, engkabang yang dieksport ke luar negara ini digunakan dalam industri pembuatan cokelat.
Eksport buah ini mencapai kemuncak selepas Perang Dunia Kedua berlaku pada tahun 1947 dengan nilai eksport mendekati $2 juta. Eksport engkabang ini berterusan hingga mencapai nilai $12.6 juta pada tahun 1954. Jumlah ini terus meningkat mendekati $20 juta pada tahun 1959 dan lebih $16 juta pada tahun 1962.
Hasil-hasil hutan ini memberi peluangan besar kepada penduduk tempatan. Malahan ada yang meninggalkan aktiviti pertanian, terutama penanaman padi semata-mata mengumpul hasil hutan ini.
Selain sumber penting di atas, beberapa lagi hasil hutan penting yang memberi pendapatan kepada penduduk Sarawak ini ialah madu lebah, damar, sarang burung, gutta jangkar, gutta percha, gula apong dan rotan.
Pada tahun-tahun 1950-an, kebanyakan hasil hutan ini mengalami penurunan dalam jumlah eksport seperti eksport damar menurun, gutta percha tidak lagi dieksport pada tahun 1962, gula nipah juga menunjukkan penurunan dan rotan masih dieksport tetapi mengalami penurunan.
Hanya beberapa sahaja hasil hutan yang secara berterusan mendapat sambutan selain engkabang, seperti madu lebah dan sarang burung.
Perkembangan pengumpulan hasil hutan untuk eksport menjadi kegiatan berkurun lamanya di Sarawak dan pernah menjadi eksport penting. Hal ini membanggakan kerana Sarawak pada satu ketika membantu kemajuan ketamadunan dunia dengan keluaran hasil hutannya.
Dr Suffian Mansor adalah pensyarah kanan di Program Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia.