
SARIKEI: Ekspo Pendidikan Sarawak peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sarikei telah membuka ruang dan peluang yang luas kepada ibu bapa dan pelajar untuk memperoleh maklumat terkini berkaitan peluang pendidikan.
Selain itu, ekspo ini turut memberi pendedahan kepada pelbagai bidang kerjaya masa depan serta membantu pelajar meneroka laluan pendidikan yang ditawarkan, sama ada di dalam atau luar negara.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii berkata, lebih membanggakan, sambutan hangat daripada masyarakat setempat di Daerah Sarikei jelas membuktikan bahawa usaha gigih pihak penganjur bukanlah sesuatu yang sia-sia.

“Ia mencerminkan kesedaran dan minat yang semakin tinggi terhadap pembangunan pendidikan serta masa depan anak-anak kita.
“Ekspo ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi satu manifestasi komitmen bersama dalam membina generasi yang berilmu, berwawasan dan bersedia menghadapi cabaran global.
“Saya berharap agar penganjuran ekspo ini mampu membuka minda anak-anak generasi muda dan ibu bapa khasnya untuk merebut peluang di hadapan mata,” katanya.
Tiong Sii berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Ekspo Pendidikan Sarawak Peringkat PPD Sarikei bertempat di Dewan Sentral Sarikei, petang semalam.
Katanya, ini adalah kerana pendidikan di Sarawak akan melalui fasa baharu yang amat signifikan pada 2026.

“Seperti yang kita semua sedia maklum, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerajaan Sarawak sangat menekankan kepentingan pendidikan tinggi kepada semua anak Sarawak.
“Dengan keyakinan terhadap kekuatan ekonomi negeri yang semakin maju dan stabil, Sarawak bakal menjadi negeri pertama di Malaysia yang menyediakan pendidikan percuma kepada semua anak negeri yang melanjutkan pelajaran di universiti dan institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri bermula 2026.
“Oleh itu, saya menyeru semua anak muda di Daerah Sarikei, khususnya yang masih berada di bangku sekolah, agar merebut peluang pendidikan percuma ini demi meningkatkan prestasi pendidikan ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya.
Tambahnya, beliau menyokong PPD Sarikei dalam meningkatkan dan membangunkan modal insan generasi muda Sarikei demi masa depan mereka yang lebih gemilang.
“Saya percaya bahawa ekspo pendidikan seperti ini bukan sahaja memperkukuh jaringan antara institusi dan komuniti, tetapi turut memberi inspirasi kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan,” ujarnya.
Oleh Earl Anek