
MIRI: Kehadiran murid ke sekolah secara konsisten merupakan asas utama kejayaan pendidikan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii.
Beliau berkata, tidak kira betapa hebatnya kurikulum atau kemudahan yang disediakan, ia tidak akan memberi kesan jika murid tidak hadir dan mengikuti pembelajaran secara konsisten.
“Oleh itu, saya menggesa kepada semua ibu bapa di sini, pastikan anak-anak kita hadir ke sekolah setiap hari, menumpukan perhatian, dan melibatkan diri sepenuhnya.
“Justeru, kerjasama erat antara pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG), dan ibu bapa adalah kunci untuk melahirkan generasi yang berilmu, berdisiplin, dan berakhlak mulia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Penutupan Ekspo Pendidikan Sarawak Pejabat Pendidikan Daerah Miri 2025 di sini, petang tadi.
Mengenai ekspo tersebut, Adam Yii berkata, ia telah membuka ruang dan peluang kepada ibu bapa serta pelajar untuk mendapatkan maklumat, mengenali bidang kerjaya masa depan, dan meneroka pelbagai peluang pendidikan yang tersedia di dalam dan luar negara.
“Lebih membanggakan lagi, sambutan hangat yang diberikan oleh masyarakat setempat di daerah ini membuktikan bahawa usaha pihak penganjur tidaklah sia-sia.
“Saya mengharapkan penganjuran Ekspo Pendidikan Sarawak Pejabat Pendidikan Daerah Miri 2025 mampu membuka minda anak-anak generasi muda dan ibu bapa khasnya untuk mereka merebut peluang yang sudah terhidang di hadapan mata kerana pendidikan di negeri Sarawak akan melalui fasa yang baharu pada 2026,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan simbolik penyerahan Bantuan Pakaian Seragam dan Biasiswa Tempatan Yayasan Sarawak kepada 1,011 pelajar sekolah Menengah dan sekolah rendah dengan jumlah sumbangan RM202,200.00.
Oleh Liong Chai Ling