
MARUDI: Ekspo Pendidikan Sarawak membuka peluang kepada ibu bapa dan pelajar untuk mendapatkan maklumat, mengenali bidang kerjaya masa depan serta meneroka pelbagai peluang pendidikan dalam dan luar negara.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, penganjuran ekspo ini diharap dapat membuka minda golongan muda dan ibu bapa untuk merebut peluang yang tersedia menjelang fasa baharu pendidikan Sarawak bermula 2026.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak Peringkat Daerah Baram yang diadakan di Dewan SJK (C) Chung Hua Marudi, hari ini.

Menurut beliau, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg amat menekankan pentingnya pendidikan tinggi untuk semua anak Sarawak.
“Kerajaan negeri yakin dengan kekuatan ekonomi Sarawak yang semakin maju dan stabil. Justeru, Sarawak akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang menawarkan pendidikan percuma kepada semua anak negeri yang melanjutkan pengajian di universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri bermula 2026,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pelajar yang masih bersekolah agar merebut peluang pendidikan percuma ini demi meningkatkan tahap pencapaian akademik masing-masing.
“Belajarlah bersungguh-sungguh supaya mampu menyambung pelajaran ke IPT, terutamanya universiti milik kerajaan negeri Sarawak,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Penguang turut menyatakan sokongan penuhnya terhadap usaha Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Baram dalam membangunkan modal insan dalam kalangan generasi muda daerah ini.
Katanya, ekspo pendidikan seperti ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi dan komuniti, malah mampu memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
Tegasnya, usaha sebegini perlu diteruskan agar sistem pendidikan negara kekal relevan, inklusif dan berdaya saing dalam menghadapi perubahan dunia semasa.

“Saya juga berharap kerjasama antara semua pihak berkepentingan seperti pelajar, ibu bapa, guru serta institusi pendidikan awam dan swasta dapat terus diperkukuh supaya matlamat Kementerian Pendidikan dan kerajaan Sarawak dapat dicapai,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Baram, Matthew Laing Ngau, wakil, Yayasan Sarawak Syafina Abdul Rahman, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Maudi, Fazzwan Yunus, Pengerusi Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Daerah Baram, Rechard Emang dan Pengerusi Persatuan Guru Besar Daerah Baram, Charles Jalak.
Oleh Jiku Juguong