MARUDI: Ekspo Pendidikan FTES Yayasan Sarawak 2026 merupakan inisiatif yang mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pendidikan terus menjadi pemangkin utama pembangunan modal insan.
Pegawai Pendidikan Daerah Baram, Matthew Laing Ngau berkata, pendidikan sentiasa menjadi asas kepada kemajuan sesebuah negara dan kesejahteraan masyarakat.
Katanya, dalam dunia yang mengalami perubahan pesat akibat perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta ekonomi berasaskan pengetahuan, sistem pendidikan perlu bergerak seiring bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja menguasai ilmu, malah memiliki kemahiran berfikir aras tinggi, nilai murni, daya tahan serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan.
“Sehubungan itu, aspirasi Reformasi Pendidikan Malaysia 2026-2035 memberi penekanan kepada usaha membina sistem pendidikan yang lebih berkualiti, inklusif, relevan dan berpaksikan pembangunan insan secara menyeluruh.
“Reformasi ini turut menekankan penguasaan literasi, numerasi, kompetensi digital, pembentukan sahsiah, kesejahteraan murid, kepimpinan pendidikan yang berkesan serta pengukuhan kerjasama antara sekolah, keluarga dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Ekspo Pendidikan FTES Yayasan Sarawak 2026 yang dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil di Dewan Suarah Baram, hari ini.
Menurut Matthew, penganjuran ekspo tersebut merupakan manifestasi kepada aspirasi reformasi pendidikan negara.
Jelasnya, program itu bukan sekadar mempromosikan peluang melanjutkan pengajian, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami keseluruhan ekosistem pendidikan yang disediakan kerajaan, bermula daripada pemilihan laluan pendidikan, peluang biasiswa dan penajaan, pendidikan akademik serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sehinggalah kepada laluan kerjaya yang selari dengan keperluan pembangunan negeri dan negara.
“Sebagai sebuah daerah yang mempunyai keluasan geografi yang mencabar dengan penempatan yang berselerak termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman, kita amat menghargai pendekatan community outreach yang dibawa Yayasan Sarawak melalui penganjuran ekspo ini.
“Pendekatan turun padang seperti ini membolehkan maklumat disampaikan secara terus kepada masyarakat tanpa mengira lokasi,” katanya.
Beliau berkata, ekspo berkenaan turut memberi peluang kepada anak-anak di daerah itu mendapatkan bimbingan secara langsung daripada institusi pengajian tinggi, agensi penajaan dan pakar kaunseling pendidikan.
Pada masa sama, katanya, ibu bapa dapat memahami dengan lebih jelas pelbagai bentuk bantuan yang disediakan kerajaan bagi memastikan anak-anak mereka dapat meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
“Sesungguhnya, keputusan berkaitan pendidikan tidak boleh dibuat berdasarkan persepsi atau maklumat yang tidak lengkap. Sebaliknya, keputusan tersebut hendaklah dipandu oleh maklumat yang sahih, bimbingan profesional serta pertimbangan terhadap minat, kebolehan dan potensi setiap individu,” katanya.





