
DARO: Inisiatif pendidikan percuma yang diumumkan kerajaan Sarawak dijangka memberi impak besar kepada pelajar di seluruh negeri, khususnya di kawasan luar bandar untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan generasi muda tidak tercicir dalam pendidikan.
“Dengan adanya pendidikan percuma ini, ibu bapa tidak lagi terbeban dengan kos pengajian tinggi anak-anak.
“Sebaliknya, pelajar boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran bagi mencapai kecemerlangan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya ketika merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak di Dewan Masyarakat Daro, semalam.
Safiee berkata program anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro dengan kerjasama pelbagai agensi itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peluang pendidikan tinggi, hala tuju kerjaya serta kepentingan pendidikan sebagai asas pembangunan modal insan.
Menurutnya, penganjuran ekspo seumpama itu juga mampu memberi manfaat besar kepada pelajar dan ibu bapa melalui pendedahan awal mengenai pilihan pendidikan dan kerjaya, sejajar aspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan masyarakat berilmu, berdaya saing dan seimbang dari segi akademik serta sahsiah.
Pada majlis itu, Safiee turut menyampaikan hadiah kepada 13 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seorang pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di bawah PPD Daro, selain menyerahkan Bantuan Pakaian Seragam serta Biasiswa Tempatan Yayasan Sarawak kepada pelajar layak.
Beliau turut menyampaikan geran kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Ampung Pangtray selaku Pengelola Program Cemerlang (Pro-CEM) Tahun 6, yang merupakan gabungan enam sekolah rendah di tanah besar Daro bagi memperkukuh prestasi akademik murid.
Oleh Tarani Lanting