
WARISAN tradisi bertemu semangat generasi baharu apabila penari-penari cilik Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Chien memeriahkan majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 dengan persembahan tarian singa yang penuh bertenaga dan disiplin.
Dentuman gendang yang bergema di pekarangan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei bukan sekadar iringan muzik, sebaliknya menjadi simbol kebangkitan semula seni warisan yang dipupuk sejak usia muda.
Di sebalik kostum singa itu, terserlah komitmen dan kesungguhan murid-murid yang tekun menjalani latihan demi memastikan persembahan berlangsung dengan sempurna.

Guru Besar SJKC Kwang Chien, Teng Kim Ung berkata, penyertaan murid-murid untuk membuat persembahan di majlis tersebut merupakan satu penghormatan besar buat sekolah.
“Hari ini, kami membawa murid-murid untuk menyambut tetamu kehormat bagi majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina 2026 di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei.
“Jadi, kami berasa bangga kerana dijemput untuk menyambut tetamu kehormat dan disamping itu, kami juga mempunyai satu pasukan lagi untuk persembahan kebudayaan di aturcara nanti,” katanya ketika ditemu bual Utusan Sarawak, hari ini.
Katanya, pendedahan terhadap tarian singa dalam kalangan murid bermula sejak 2024 hasil kerjasama erat antara pihak sekolah dan Persatuan Kwong Wai Siew.
“Mereka (penari cilik tarian singa) didedahkan dengan tarian singa ini sejak 2024.
“Jadi, kebetulan pada masa itu, kami berjumpa dengan Persatuan Kwong Wai Siew.
“Kami pun bekerjasama dengan mereka, tambahan pula kami mempunyai seorang cikgu yang bertauliah (dalam seni tarian singa)..jadi memang secara kebetulan…masa itulah kedua-dua pihak menubuhkan persatuan tarian singa ini,” katanya.
Kim Ung menjelaskan bahawa usaha menghidupkan semula seni tersebut sebenarnya menyambung legasi lama yang pernah wujud dalam Persatuan Kwong Wai Siew.
“Sebenarnya, suatu ketika dulu Persatuan Kwong Wai Siew sudah mempunyai pertubuhan tarian singa..disebabkan zaman yang telah terlalu lama, tiada orang yang menyambung kebudayaan ini…jadi, Pengerusi Persatuan Kwong Wai Siew yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan SJKC Kwang Chien, Penghulu Ley Kok Lun, ‘menghidupkan’ semula tarian singa pada 2024 bersama dengan SJKC Kwang Chien,” katanya lagi.
Tambahnya, beliau menyokong penuh usaha memelihara warisan budaya dalam kalangan generasi muda.
“Saya sebagai pentadbir (Guru Besar) di SJKC Kwang Chien menyambut seruan kebudayaan Cina.
“Kami teruskan kebudayaan Cina untuk generasi-generasi yang muda supaya kebudayaan ini tidak hilang.
“Pihak pentadbir (kami) memang memberi sokongan kuat..begitu juga dengan Lembaga Pengurusan Sekolah, mereka juga memberi sokongan yang kuat.
“Sebagai contohnya, pada 2025 mereka memberi sokongan kewangan untuk menyertai pertandingan-pertandingan tarian singa di luar kawasan Sarikei iaitu di Mukah dan Sibu,” katanya.
Sokongan tersebut membolehkan pasukan tarian singa cilik itu menimba pengalaman di pentas luar daerah, sekali gus memperkukuh keyakinan serta kemahiran mereka dalam mempersembahkan seni tradisi.
Beliau turut menyatakan harapan agar usaha ini tidak terhenti di peringkat sekolah rendah sahaja.
“Harapan saya, pada masa akan datang, mereka (penari-penari cilik tarian singa) akan meneruskannya di sekolah menengah.
“Bagi Persatuan Kwong Wai Siew, mereka akan membawa kesenian itu di persatuan mereka juga…saya berharap ia akan berterusan untuk mengekalkan kebudayaan ini,” tambahnya.
Usaha berterusan pihak sekolah bersama Persatuan Kwong Wai Siew membuktikan bahawa warisan budaya tidak akan lapuk ditelan zaman sekiranya dipupuk sejak usia muda.
Di sebalik langkah kecil dan wajah penuh semangat penari-penari cilik itu, tersimpan komitmen besar untuk memastikan seni tarian singa terus hidup dan diwarisi generasi seterusnya.
Mengakhiri temu bual, beliau turut menyampaikan ucapan penuh makna kepada seluruh masyarakat Cina sempena sambutan TBC yang bakal tiba.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua,” katanya.
Oleh Earl Anek