Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Eksklusif: ‘Walau benang hidup kusut, ia masih boleh dijahit indah’ – Tholasidevi
  • INSPIRASI

Eksklusif: ‘Walau benang hidup kusut, ia masih boleh dijahit indah’ – Tholasidevi

Utusan Sarawak 9 hours ago
MESRA…Tholasidevi Kaliyani mencium ibunya sebagai tanda terima kasih dan penghargaan.

KUCHING: Di sebalik senyuman manisnya, tersimpan kisah perjuangan penuh air mata dan ketabahan seorang gadis bernama Tholasidevi Kaliyani, graduan Program Seni Reka Fesyen Kolej Vokasional Kuching, yang akhirnya berjaya menggenggam Sijil Vokasional Malaysia setelah menempuh pelbagai cabaran.

Bagi Tholasidevi, kejayaan itu bukan sekadar simbol tamat pengajian, tetapi lambang semangat dan keyakinan diri yang dibina daripada peluh, tangisan dan doa tanpa henti.

“Saya berasa sangat gembira dan bersyukur kerana akhirnya berjaya menamatkan pengajian dalam bidang yang saya minati. Setiap jahitan dan rekaan yang saya hasilkan adalah hasil pengorbanan dan usaha tanpa lelah,” katanya ketika ditemui selepas majlis graduasi.

THOLASIDEVI Kaliyani ketika menerima sijil pada Majlis Graduasi Kolej Vokasional Kuching, di Kuching, hari ini.

Pelajar yang berasal dari Kuching itu turut mengakui bahawa pengalaman paling berharga sepanjang pengajian ialah ketika menghasilkan rekaan pakaian sendiri untuk projek akhir momen yang mengubah cara pandangnya terhadap dunia fesyen.

“Melihat lakaran saya menjadi pakaian sebenar buat pertama kali, saya terasa seperti mimpi yang menjadi kenyataan,” ujarnya sambil tersenyum.

Minatnya terhadap dunia fesyen bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak kecil, beliau sudah gemar melukis dan bereksperimen dengan padanan pakaian. Maka tidak hairanlah bidang reka fesyen menjadi pilihan hatinya.

“Saya mahu menjadikan minat ini sebagai kerjaya. Impian saya adalah untuk mempunyai jenama fesyen sendiri suatu hari nanti,” katanya penuh tekad.

THOLASIDEVI Kaliyani bergambar bersama ibu tercinta.

Dalam perjalanan itu, nama Datuk Rizalman Ibrahim menjadi sumber inspirasinya, ikon yang berjaya mengekalkan elemen tradisional dalam rekaan moden dan mengangkat fesyen Malaysia ke pentas antarabangsa.

“Beliau membuktikan bahawa identiti tempatan tidak pernah ketinggalan zaman. Itulah semangat yang saya ingin bawa dalam setiap rekaan saya nanti,” tambahnya.

Bercerita tentang latihan industri, Tholasidevi mengakui ia membuka matanya terhadap dunia kerja sebenar. Dari butik ke ruang jahitan, semuanya menjadi medan pembelajaran yang membentuk dirinya menjadi lebih berdisiplin dan matang.

Namun, di sebalik kejayaan yang digenggam hari ini, terselit kisah getir yang hampir meruntuhkan semangatnya.

“Ada masa saya hampir putus asa… bila tekanan datang dari semua arah tugasan, projek, dan latihan. Tapi setiap kali saya menangis, saya ingat semula kenapa saya mula. Saya belajar, walau benang kehidupan kusut, ia tetap boleh dijahit semula menjadi sesuatu yang indah,” katanya sebak.

“Saya pernah rasa gagal, tapi kegagalan itu bukan noktah tetapi ia cuma corak kasar sebelum rekaan yang sempurna,” tambahnya dalam nada penuh makna.

Bagi ibunya, Vekniswari Verapah, kejayaan anak gadisnya itu adalah hasil ketabahan dan keberanian yang tidak pernah padam.

“Setiap malam saya berdoa agar Tuhan memberi kekuatan kepadanya. Saya tahu dia berjuang sendirian di sana, tapi doa seorang ibu sentiasa bersamanya,” katanya dengan suara sebak.

Kini, selepas menamatkan pengajian, Tholasidevi melangkah ke dunia sebenar dengan semangat baharu membawa bersamanya impian besar untuk mengharumkan nama Sarawak di peringkat antarabangsa melalui hasil rekaannya sendiri.

“Saya mahu buktikan bahawa anak Sarawak juga mampu mencipta jenama yang dikenali di luar negara. Suatu hari nanti, saya mahu lihat rekaan saya diperagakan di pentas dunia,” katanya penuh keyakinan.

Bagi Tholasidevi, setiap helaian fabrik bukan sekadar pakaian tetapi ia adalah kisah perjuangan, kasih seorang ibu, dan semangat seorang anak tempatan yang mahu menenun nama Sarawak di kanvas dunia fesyen antarabangsa.

Oleh Norman B.

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Selepas 10 tahun pengajian, lawan kanser tahap empat Dr Fadhilahanim akhirnya genggam PhD

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.