Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Eksklusif: Wajah graduan Unimas – Inspirasi di sebalik jubah konvokesyen
  • INSPIRASI

Eksklusif: Wajah graduan Unimas – Inspirasi di sebalik jubah konvokesyen

Utusan Sarawak 22 hours ago
LARRY Jonna Lassy Therence

KOTA SAMARAHAN: Di sebalik senyuman dan jubah konvokesyen yang menghiasi Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), tersimpan kisah perjuangan dan ketabahan empat graduan muda yang masing-masing menamatkan pengajian dengan penuh makna.

Larry Jonna Lassy Therence: Suara Pembangunan Lestari Dari Kapit

Berasal dari Kapit, Larry Jonna Lassy Therence, 25, merupakan graduan Sarjana Pengurusan Alam Sekitar (Perancangan Pembangunan) yang percaya bahawa kemajuan tidak seharusnya menjejaskan kelestarian alam.

“Saya membesar di kawasan pedalaman Sarawak dan melihat sendiri kesan pembangunan terhadap komuniti setempat. Dari situ, timbul minat untuk memahami bagaimana dasar dan perancangan dapat dijalankan secara lebih lestari serta adil kepada semua pihak,” katanya ketika ditemui selepas sesi penganugerahan ijazah.

Bagi Larry, perjalanan menamatkan pengajian ini bukan mudah, namun setiap cabaran mendidiknya tentang ketabahan dan kepercayaan kepada diri sendiri.

“Detik paling mencabar ialah ketika menjalankan projek penyelidikan dan menyediakan laporan berdasarkan data lapangan. Ia benar-benar menguji kesabaran, tetapi di situlah saya belajar bahawa setiap kesukaran membawa hikmah,” ujarnya.

Larry yang menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa, rakan seperjuangan dan para pensyarah Unimas berkata, universiti itu bukan sekadar tempat belajar tetapi medan membentuk karakter dan kematangan diri.

“Unimas mengajar saya berdikari, berfikir secara kritikal dan berkomunikasi dengan yakin. Jika boleh saya berpesan kepada diri sendiri dahulu, jangan takut bermula dari bawah dan nikmati setiap proses, kerana setiap langkah kecil membawa kita ke impian yang besar,” katanya penuh makna.

MOHD Adam Abdul Sufian

Mohd Adam Abdul Sufian: Dari Tawau Ke Samarahan, Menjejak Ilmu Keselamatan Pekerjaan

Bagi Mohd Adam Abdul Sufian, 24, graduan Sarjana Sains (Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) dari Tawau, Sabah, kejayaan menamatkan pengajian di Unimas adalah bukti ketekunan yang tidak mengenal jarak dan batas.

“Saya melihat bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan mempunyai potensi besar. Ia bukan sekadar kerjaya, tetapi tanggungjawab memastikan kesejahteraan pekerja sentiasa terpelihara,” jelasnya.

Adam yang menamatkan kedua-dua pengajian sarjana muda dan sarjana di Unimas berkata, universiti itu telah menjadi sebahagian besar kehidupannya.

“Unimas bukan sekadar tempat belajar, tapi tempat saya bertemu sahabat-sahabat dari pelbagai latar belakang. Mereka banyak membantu dan memberi semangat terutama ketika saya hampir berputus asa menyiapkan laporan akhir penyelidikan,” ujarnya.

Beliau turut mengungkapkan rasa syukur atas sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa, keluarga besar serta rakan seperjuangan.

“Kalau saya boleh berpesan kepada diri sendiri, saya akan katakan, jangan biarkan orang lain mempengaruhi hala tuju kamu. Fokus kepada tujuan dan kekal dengan semangat itu,” katanya dengan senyuman.

CLAUDIA Oilviana Eyak

Claudia Oilviana Eyak: Ketabahan Anak Sibu Meniti Pembangunan Insan

Sementara itu, Claudia Oilviana Eyak, 26, dari Sibu, menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia dengan perasaan bangga dan syukur.

“Perjalanan ini bukan mudah, banyak cabaran dan detik hampir berputus asa. Namun setiap pengalaman itu mengajar saya erti kesabaran dan semangat juang,” katanya.

Claudia berkata, bidang pembangunan sumber manusia menarik minatnya kerana ia memberi peluang memahami bagaimana pengurusan pekerja mempengaruhi prestasi organisasi.

“Saya percaya kemahiran dalam bidang ini penting untuk kerjaya saya nanti, terutama dalam membina keyakinan diri dan bekerjasama dengan orang lain secara profesional,” jelasnya.

Mengimbau saat paling mencabar, Claudia mengakui projek tahun akhir menjadi ujian besar.

“Ada masa saya hampir menyerah, tapi saya ingat semula bahawa keluarga ingin melihat saya berjaya. Itu memberi kekuatan untuk terus berusaha hingga ke penghujung,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakan dan pensyarah yang sentiasa menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan akademiknya.

“Jika saya boleh berpesan kepada diri sendiri ketika mula masuk Unimas, saya akan katakan, percayalah pada diri, jangan takut mencuba. Setiap cabaran menjadikan kamu lebih kuat dan matang. Nikmati perjalanan itu kerana semua penat lelah akan berbaloi di hari konvokesyen,” ujarnya tersenyum.

RAYNOLD Gerry Alfred

Raynold Gerry Alfred: Dari Miri, Menempa Disiplin Dalam Dunia Teknologi

Dari Miri, Sarawak, Raynold Gerry Alfred, 24, graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Pengkomputeran Rangkaian) mengakui perjalanan akademiknya di Unimas bukan sekadar tentang teknologi, tetapi tentang membentuk disiplin dan ketahanan diri.

“Saya datang dari bandar kecil, tapi saya selalu ada semangat besar. Saya tak dibesarkan dengan banyak, tapi saya ada keinginan kuat untuk membina sesuatu yang bermakna,” katanya.

Menurutnya, minat terhadap bidang teknologi maklumat pada awalnya hanya kerana kelihatan menarik, namun pengalaman jatuh bangun sepanjang pengajian mengubah pandangannya terhadap bidang tersebut.

“Pada tahun kedua, saya hilang fokus dan gagal beberapa subjek. Tapi kegagalan itu yang ubah saya. Saya belajar bahawa bidang IT bukan sekadar tentang komputer, tetapi tentang disiplin. Satu kesilapan kecil boleh rosakkan keseluruhan sistem — sama seperti hidup,” jelasnya.

Tambah Raynold, pengajian di Unimas banyak mengajarnya tentang struktur, logik dan cara berfikir secara sistematik.

“Sekarang saya bukan sekadar guna sistem, tapi saya bina sistem dan pastikan ia berfungsi dengan cara saya. Unimas ajar saya bagaimana untuk bertahan di bawah tekanan dan menyesuaikan diri bila segalanya tak berjalan seperti dirancang,” katanya.

Mengimbas kembali saat paling mencabar, beliau mengakui tahun kedua menjadi tempoh paling sukar namun juga paling bermakna.

“Itu masa saya belajar untuk tidak mudah putus asa. Saya bangkit perlahan-lahan, satu projek demi satu projek, sampai berjaya semula,” ujarnya.

Raynold turut menzahirkan penghargaan kepada keluarganya yang sentiasa menjadi sumber kekuatan sepanjang pengajian.

“Bila semua orang tidur, saya masih depan skrin pukul tiga pagi. Dari situ saya belajar, motivasi boleh hilang tapi disiplin kekal. Itulah yang buat saya sampai ke tahap ini,” katanya.

Jika dapat berpesan kepada dirinya yang dahulu, Raynold akan berkata, “Jangan takut gagal. Gunakan setiap kegagalan untuk belajar dan jadi lebih baik. Jangan kejar pengiktirafan, kejar kemajuan diri. Bina asas yang kukuh dan kekal fokus, sebab disiplin itu kunci sebenar kejayaan.”

Oleh Amanda L

Continue Reading

Previous: Pembuat kasut Hollywood bimbang profesion kian pupus
Next: Eksklusif: Datang dengan niat belajar, pulang dengan cinta pada Bumi Kenyalang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.