
KONFLIK manusia-buaya masih menjadi igauan buruk masyarakat terutama mereka yang mendiami kawasan pesisir dan yang berdekatan sungai.
Bagi menjawab pelbagai persoalan berkaitan isu ini, wartawan Utusan Sarawak, EARL ANEK, menemu ramah secara eksklusif, Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran.

Berikut adalah soal-jawab berkaitan usaha menangani ancaman reptilia ganas itu termasuk isu lesen memburu buaya:
Soalan (S): Adakah SFC mempertimbangkan untuk menggandakan bilangan pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) atau memperluaskan kawasan operasi mereka dalam masa terdekat.
Abang Arabi: Pasukan SWAT SFC terdiri daripada anggota yang berpengalaman luas dan terlatih dalam pengendalian hidupan liar termasuk buaya.
Pasukan yang kini seramai 20 orang ditempatkan di empat pejabat wilayah SFC di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
Tugasan mereka bukan setakat mengendali buaya, malah turut terlibat mengendali pelbagai jenis haiwan, termasuk kera, ular, burung dan juga turut terlibat dalam operasi menyelamat hidupan liar.
Bagi meningkatkan kapasiti anggota dalam mengendalikan kes berkaitan buaya, latihan pendedahan dalam pengurusan dan pengendalian buaya turut diberikan kepada staf-staf SFC yang bertugas di pejabat wilayah, taman negara dan stesen Ranger.
Ini membolehkan respon awal lebih pantas dapat dilaksanakan terutama di kawasan berisiko.
Pasukan SWAT SFC turut berterusan melaksanakan operasi menangkap buaya di kawasan berisiko. Tahun ini sahaja sebanyak 15 operasi telah dijalankan di seluruh Sarawak termasuk di Semariang Batu, Kuching, Saratok, Sarikei, Belaga, Sungai Miri, Bakenu dan beberapa lokasi lain.


DITEMUI MATI… Seekor buaya dewasa ditemui mati bersama umpan yang dipasang di Sungai Sarikei pada 4 Julai lalu. Foto APM Sarikei
Beberapa lagi operasi dalam perancangan untuk dijalankan dalam masa terdekat termasuk di Batang Kemena, Bintulu dan kawasan Batu Kawa, Kuching.
S: Bolehkah tuan berkongsi statistik jumlah buaya yang telah ditangkap atau dipindahkan sepanjang lima tahun kebelakangan ini.
Abang Arabi: Dari 2020-2024, sebanyak lebih 166 buaya telah ditangkap atau dilupuskan, manakala sebanyak 791 telur buaya dipindahkan dari sarang dalam operasi yang dijalankan oleh SFC. Pada masa sama, sebanyak 280 ekor lagi ditangkap oleh pemburu berlesen.
S: Apakah cabaran utama yang dihadapi SFC dalam melaksanakan pengurusan populasi buaya, khususnya dari segi logistik, perundangan atau kerjasama masyarakat.
Abang Arabi: Sarawak berdepan cabaran berterusan dalam pengurusan buaya berikutan peningkatan populasi buaya yang kini dianggarkan sekitar 25,000 ekor.
Taburan habitat yang meluas merangkumi lebih 4,500 kilometer (km) di 40 lembangan sungai utama di Sarawak menjadikan pemantauan dan pengurusan lebih kompleks, khususnya di kawasan berpendudukan seperti bandar, kampung, dan rumah panjang yang bergantung kepada sungai untuk aktiviti harian.


OPERASI….Pasukan SFC dan APM Sarikei meninjau populasi sarang habitat buaya pada 1 Julai lalu. Foto APM Sarikei
Peningkatan penemuan buaya berhampiran penempatan manusia turut dipengaruhi oleh pembuangan sisa makanan ke sungai, haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran, serta amalan memberi makan buaya secara sengaja.
Selain itu, buaya dan sarangnya juga semakin kerap ditemui di kawasan ladang dan sawah padi, sekali gus meningkatkan risiko kepada penduduk setempat. Cabaran turut timbul dalam mengenal pasti punca sebenar insiden di sungai, sama ada disebabkan serangan buaya atau faktor lain seperti lemas atau kemalangan.
Seringkali dianggap kes kehilangan orang di sungai terus dikaitan dengan serangan buaya terutamanya melibatkan kes yang tiada saksi yang melihat kejadian atau mayat mangsa tidak ditemui.
S: Setakat ini, sejauh mana keberkesanan aplikasi Sarawak Croc Watch dari segi respons pantas dan penyertaan pengguna luar bandar. Adakah ada rancangan untuk menaik taraf aplikasi tersebut.
Abang Arabi: Aplikasi Sarawak Croc Watch merupakan salah satu inisiatif digital yang diperkenalkan oleh SFC bagi mempertingkat kecekapan respons terhadap konflik manusia-buaya serta memperkukuh sistem pelaporan awam.

Antara kepentingan aplikasi ini ialah:
(i) Memudahkan orang awam melaporkan kehadiran buaya secara terus, lengkap dengan lokasi GPS, gambar dan butiran kejadian;
(ii) Meningkatkan capaian dan kecekapan pasukan operasi SFC, dalam menyaring dan memberi respons kepada aduan yang diterima, terutamanya di kawasan berisiko tinggi;
(iii) Membantu pengumpulan data lapangan secara sistematik bagi mengenal pasti pola kehadiran buaya dan kawasan panas (hotspot), seterusnya digunakan untuk merancang operasi mitigasi, pemasangan papan tanda amaran, dan aktiviti kesedaran masyarakat;
(iv) Memberi ruang untuk pendidikan awam dan pemantauan berasaskan komuniti, di mana pengguna juga boleh mengakses maklumat mengenai buaya dan langkah keselamatan melalui aplikasi.


CIRI UTAMA….Lima ciri utama dalam aplikasi Sarawak Croc Watch.
Sejak dilancarkan pada September 2024, SFC telah menerima lebih 160 laporan melalui aplikasi ini. Bagaimanapun, keberkesanan aplikasi ini bergantung kepada kadar penggunaan dan tahap kesedaran komuniti.
Oleh itu, promosi dan latihan penggunaan aplikasi kepada penduduk di kawasan terkesan turut dilaksanakan secara berperingkat.
Semua data yang dikumpulkan melalui aplikasi ini akan diintegrasikan dengan Sistem Papan Pemuka Analitik (Dashboard) yang dipantau oleh SFC.
Dashboard ini membolehkan pemantauan laporan penemuan buaya dan insiden serangan secara real-time, menyusun statistik insiden, serta menganalisis pola kehadiran dan serangan buaya di pelbagai lokasi.
Melalui teknologi ini, SFC dapat membuat keputusan berasaskan data dengan lebih tepat serta mengambil tindakan susulan yang lebih cepat dan sistematik bagi memastikan keselamatan awam serta pengurusan konflik manusia-buaya yang lebih berkesan.
S: Bolehkah tuan jelaskan dengan lebih lanjut mengenai kandungan Pelan Pengurusan Buaya Sarawak yang sedang dibangunkan bersama perunding Australia. Bilakah ia dijangka dimuktamadkan dan dilaksanakan sepenuhnya.
Abang Arabi: Sebagai langkah strategik jangka panjang, Pelan Komprehensif Pengurusan Buaya di Sarawak sedang dibangunkan sebagai kesinambungan kepada pelan pengurusan terdahulu yang diperkenalkan pada 2016.
Pelan pertama telah memberi tumpuan kepada pemuliharaan dan kawalan populasi buaya, manakala pelan baharu ini diperluaskan dengan strategi yang lebih menyeluruh dengan tiga matlamat utama:

(i) Meneruskan usaha pemuliharaan dan perlindungan terhadap buaya muara dan habitatnya, termasuk mengenal pasti serta mewujudkan kawasan perlindungan buaya;
(ii) Mempertingkatkan keselamatan komuniti tempatan sebagai keutamaan utama, sambil meningkatkan keharmonian hubungan antara manusia dan buaya;
(iii) Meneroka dan membangunkan mekanisme bagi meningkatkan manfaat ekonomi melalui penggunaan buaya secara lestari.
Pelan baharu yang dibangunkan bersama perunding Australia akan merangkumi strategi utama seperti pemantauan berterusan populasi buaya, pengurusan habitat, kawalan konflik, meningkatkan kesedaran masyarakat, serta penglibatan komuniti setempat dalam pengurusan buaya.
Selain itu, pendekatan berasaskan bukti dengan bantuan teknologi akan digunakan dalam penentuan kawasan berisiko tinggi dan langkah-langkah pengurangan ancaman bagi meningkatkan keselamatan awam.
S: Bagaimanakah mekanisme kawalan lesen memburu dan penuaian buaya dikawal untuk mengelakkan penyalahgunaan. Siapa yang layak, dan bagaimana pemantauannya dijalankan.
Abang Arabi: Pihak SFC berterusan menambahbaik sistem lesen melibatkan aktiviti berkaitan buaya termasuk lesen memburu dan menjual buaya, lesen membuka ladang buaya dan lesen untuk mengeksport buaya dan produk dari buaya.
Permohonan lesen terbuka kepada individu berminat dan permohonan boleh dibuat secara manual dengan mengisi borang atau permohonan melalui portal e-Licensing. Untuk lesen memburu, kuota dan kawasan memburu akan diberi untuk mengawal aktiviti pemburuan.
Secara purata sehingga kini, 70 lesen memburu buaya dikeluarkan setiap tahun. Namun berdasarkan rekod kita, sesetengah pemburu tidak aktif dengan tiada tangkapan buaya dilaporkan.
Sehubungan itu, antara penambahbaikan yang sedang dilakukan ialah:
1. Menambahbaik terma dan syarat lesen.
2. Setiap pemburu berlesen perlu menyerahkan rekod pemburuan bersama maklumat tambahan termasuk ukuran dan juga gambar hasil tangkapan untuk mengesahkan aktiviti pemburuan sebelum permohonan pembaharuan lesen diproses.
3. Pemohonan pembaruan lesen yang tiada rekod tangkapan perlu mengemukakan alasan kukuh tiada tangkapan diperoleh.
4. Pertimbangan pemohonan pembaharuan lesen dan penambahan kuota berdasar rekod tangkapan.
SFC kurang menerima permohonan lesen memburu dan menjual buaya di sesetengah kawasan termasuk di Limbang dan Lawas.
Sesi libat urus dan taklimat akan diadakan untuk memberi penerangan kepada komuniti tentang potensi manfaat ekonomi melalui penggunaan buaya secara lestari, termasuk dalam aktiviti ekopelancongan, peladangan penjualan dan eksport dan cara permohonan lesen.
Langkah-langkah penambahbaikan ini bersama penambahbaikan lain yang masih dalam perancangan diharapkan dapat menggalakan pemilik lesen aktiviti berkaitan buaya untuk memanfaat lesen.
S: Adakah SFC mempunyai anggaran kewangan atau bajet tahunan khusus untuk operasi menangani konflik buaya. Dan adakah ia mencukupi.
Abang Arabi: Secara purata, SFC menganggarkan perbelanjaan sekitar RM250,000 setahun digunakan bagi melaksanakan aktiviti dan operasi menangani konflik manusia-buaya.
Kos ini dijangka terus meningkat sejajar dengan trend peningkatan aduan dan laporan yang diterima setiap tahun iaitu sebanyak 350 aduan direkodkan pada 2024 berbanding 305 aduan pada 2023.
Anggaran ini belum termasuk kos tambahan bagi pelaksanaan program-program kesedaran dan pendidikan bersama komuniti setempat.
Kerjasama rentas agensi dan penglibatan komuniti setempat amat penting dalam menjayakan pengurusan konflik buaya secara holistik.
Penubuhan Inter-Agency Human-Crocodile Conflict Management Task Force di setiap bahagian di Sarawak telah menyediakan satu platform strategik untuk menyelaras tindakan, berkongsi maklumat, dan melaksanakan pendekatan bersepadu antara agensi penguat kuasa, pihak berkuasa tempatan, dan komuniti dalam menangani konflik ini secara lebih berkesan.
S: Apakah bentuk pemerkasaan atau insentif yang diberikan kepada komuniti tempatan dalam industri pemerdagangan sah hasil buaya, tuan.
Abang Arabi: Sarawak sedang meneroka potensi pemanfaatan buaya secara lestari, selaras dengan prinsip pemuliharaan dan keselamatan awam.
Antara inisiatif yang sedang dikaji dan dirancang termasuk:
(i) Penubuhan fasiliti santuari buaya, bukan sahaja sebagai tempat penempatan buaya yang ditangkap tetapi juga sebagai pusat pendidikan, pelancongan dan penyelidikan;
(ii) Kajian terhadap model industri buaya yang diamalkan di negara seperti Australia, termasuk aspek peladangan, pelancongan dan penghasilan produk;
(iii) Penglibatan komuniti tempatan dalam usaha pemanfaatan yang dikawal selia untuk menjana sumber pendapatan, terutamanya di kawasan yang terjejas oleh konflik;
(iv) Menambah baik kerangka perundangan khusus bagi pengurusan buaya termasuk berkaitan pengurusan konflik, lesen dan kawal selia terhadap pemanfaatan buaya termasuk aktiviti pemburuan, peladangan, penghasilan dan eksport produk berasaskan buaya.
Sejak 2019, Sarawak telah merekodkan aktiviti eksport kulit buaya dan buaya hidup ke beberapa negara termasuk China, Thailand, Jepun, Iran, United Kingdom dan Republik Czech.
Bagaimanapun, kuota eksport bagi buaya liar masih kurang dimanfaatkan kerana majoriti eksport adalah daripada sumber ladang komersial.
Sehubungan itu, sesi bengkel dan libat urus bersama komuniti akan dipergiatkan bagi menggalakkan penglibatan mereka dalam aktiviti penternakan buaya dan pengeksportan produk berasaskan buaya.
S: Bilakah dijangka Crocodile Rule 2025 akan dibentangkan secara rasmi. Dan apakah perubahan utama yang akan diperkenalkan berbanding dasar sedia ada.
Abang Arabi: Peningkatan konflik manusia-buaya (HCC) sejak kebelakangan ini, terutamanya di kawasan penempatan dan luar bandar, serta minat yang semakin berkembang terhadap penggunaan buaya secara lestari seperti penternakan, ekopelancongan dan perdagangan terkawal, telah menyerlahkan jurang perundangan dalam kerangka sedia ada.
Walaupun Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan Peraturan Perlindungan Hidupan Liar 1998 memberi perlindungan am kepada spesies, ia masih kurang peruntukan khusus berkaitan pelesenan, penguatkuasaan, dan tindak balas terhadap konflik berkaitan buaya.
Penurunan status Crocodylus porosus daripada Lampiran I ke Lampiran II di bawah CITES turut mengukuhkan keperluan kepada instrumen perundangan yang lebih terperinci.
Sehubungan itu, pembangunan Crocodile Rules oleh SFC bersama Pejabat Peguam Besar dan perunding Australia adalah selari dengan strategi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan transformasi luar bandar Sarawak.
Peraturan yang sedang dibangunakan ini akan melibatkan penambahbaikan dalam pelesenan, kawal selia penggunaan buaya, penguatkuasaan, pengurusan konflik, serta penubuhan Crocodile Management Trust Fund, demi menjamin keselamatan awam, kelestarian biodiversiti dan pembangunan industri berasaskan buaya secara mampan.