
KUCHING: Di sebalik bangunan sederhana di tengah bandar Kuching, tersembunyi sebuah gerakan penyelamatan kucing yang perlahan namun berkesan, diterajui oleh dua warga Britain yang menjadikan Kuching rumah kedua mereka.
Pawsitive Vibes Kuching, yang juga dikenali sebagai sebuah kafe mesra kucing, kini sedang melalui transformasi penting untuk menjadi hab penyelamatan haiwan jalanan sepenuh masa.
Di sebalik usaha ini berdiri Greg dan Anthony, dua individu yang meninggalkan kehidupan lama mereka di United Kingdom untuk memulakan sesuatu yang luar biasa di Bumi Kenyalang.
“Semuanya bermula dengan seekor anak kucing yang kami namakan Sundrop. Kami temuinya dalam sebuah kotak air jenama Sundrop, namun tidak sempat diselamatkan.
“Kepergiannya benar-benar menyentuh hati kami dan menjadi titik tolak untuk kami melakukan sesuatu yang lebih besar,” kata Greg, salah seorang pengasas pusat tersebut.

Kisah Sundrop menjadi permulaan kepada sebuah misi; mencegah kelahiran kucing jalanan yang tidak diingini melalui pendekatan Trap-Neuter-Release (TNR) atau Tangkap-Mandul-Lepas, satu kaedah yang terbukti berkesan dalam mengawal populasi haiwan terbiar secara berperikemanusiaan.
Greg, yang sebelum ini terlibat secara sukarela dalam penyelamatan kucing di kawasan setempat, kembali ke Kuching kira-kira setahun setengah yang lalu dengan niat untuk melakukan lebih daripada sekadar membantu seekor dua kucing.
Pertemuannya dengan Anthony, bekas tukang masak yang turut berkongsi minat mendalam terhadap haiwan, membawa kepada penubuhan Pawsitive Vibes pada Mac 2025.
“Kami bermula secara kecil-kecilan, menyelamatkan beberapa ekor kucing dan membiayainya sendiri.
“Namun apabila kami sedar kos sebenar untuk melakukan TNR secara konsisten, kami tahu kami perlukan sumber kewangan yang lebih kukuh,” ujar Anthony.

Bermodalkan semangat dan pengalaman Anthony dalam bidang makanan dan minuman, mereka membuka sebuah kafe yang diharapkan dapat menjadi punca pendapatan untuk menyokong usaha penyelamatan. Namun realitinya tidak semudah itu.
“Rupanya lebih ramai yang sanggup menderma terus daripada datang makan.
“Kafe itu tidak memberikan pulangan seperti yang kami harapkan untuk membantu lebih banyak haiwan,” kata Greg.
Akibatnya, mereka mengambil keputusan drastik untuk menamatkan operasi kafe dan menukarnya kepada pusat penyelamatan, tempat interaksi bersama kucing, serta kedai jualan barangan amal.
Keputusan ini selari dengan misi mereka untuk memberi fokus sepenuhnya terhadap kerja-kerja penyelamatan, penjagaan jangka panjang, dan proses pengambilan angkat.
Antara tumpuan utama mereka kini ialah menjalankan misi TNR di kawasan tumpuan kucing terbiar seperti Pasar Kubah Ria dan kawasan sekitar pusat bandar.
Mereka juga menerima laporan harian daripada orang awam mengenai kucing yang cedera atau sakit, yang kemudiannya akan dibawa ke klinik dan dirawat.
Jika kucing tersebut tidak sesuai dilepaskan semula, mereka akan dijaga sehingga mendapat rumah angkat.

“Kami turut bekerjasama rapat dengan Klinik Veterinar Petlife Metro City untuk semua proses pemvaksinan dan pemandulan.
“Jalinan hubungan yang kami bina bersama komuniti veterinar dan individu penyelamat haiwan secara sukarela di Kuching kini menjadi tunjang utama kepada operasi kami,” jelas Greg.
Selain itu, Pawsitive Vibes kini menjalinkan kerjasama erat dengan Humane Animal Society Sarawak (HASS), yang menjalankan program serupa untuk anjing jalanan.
Usaha bersama ini menyaksikan penciptaan pangkalan data dan penggunaan kolar dengan kod QR bagi mengenal pasti haiwan yang telah dimandulkan, divaksin, dan dilepaskan semula ke lokasi asal.
“Apabila masyarakat dan pihak berkuasa melihat haiwan-haiwan ini dengan kolar khas, mereka akan tahu bahawa haiwan ini selamat dan tidak perlu diusir atau dibunuh.
“Kami percaya ini akan mengubah persepsi masyarakat terhadap haiwan terbiar,” kata Anthony.
Mereka turut mengakui masih banyak salah tanggapan dalam kalangan masyarakat terhadap haiwan jalanan, terutamanya berkaitan rabies.
“Ramai yang beranggapan semua kucing jalanan membawa virus rabies, lalu takut atau bertindak ganas terhadap haiwan tersebut.
“Kami sedang cuba mendidik orang ramai bahawa vaksinasi adalah penyelesaian, bukan penghapusan,” tegas Greg, yang pernah menyelamatkan seekor kucing yang dibelasah teruk akibat salah faham ini.
Melangkah ke hadapan, mereka merancang untuk memperluas kesedaran melalui penyertaan dalam acara pendidikan, ceramah di sekolah dan menjadikan Pawsitive Vibes sebagai pusat sumber untuk pengambilan angkat dan pembelajaran.
Malah, mereka kini sedang mendaftarkan sebuah yayasan amal di United Kingdom, Pawsitive Vibes Foundation, bagi menarik dana dari luar negara yang boleh digunakan untuk operasi di Kuching.
“Kami mahu buktikan bahawa walaupun tidak berasal dari sini, kami prihatin terhadap haiwan di sini.
“Kami percaya orang lain pun akan turut serta jika mereka lihat usaha ini benar-benar berkesan,” kata Anthony.
Dengan pendekatan yang konsisten, Pawsitive Vibes bukan sekadar menyelamatkan nyawa kucing, mereka sedang membina sebuah sistem yang mungkin suatu hari nanti mampu menamatkan penderitaan haiwan jalanan di Kuching.
Oleh Amanda L.