Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Eksklusif: Teater ‘Spirit Beyond Silence’ sorot realiti masyarakat dan budaya berdiam diri
  • HIBURAN

Eksklusif: Teater ‘Spirit Beyond Silence’ sorot realiti masyarakat dan budaya berdiam diri

Utusan Sarawak 8 hours ago
PELAKON membawa watak dalam pementasan Rumah Tumpang arahan Azri Ali yang mengangkat kisah kanak-kanak terkesan akibat perpecahan keluarga dan keganasan rumah tangga dalam projek Spirit Beyond Silence. Foto Nadya Victoria

KOTA SAMARAHAN: Ungkapan “jangan besarkan masalah sampai masalah membesar dengan sendiri” kedengaran seperti nasihat biasa. Namun di sebalik dialog itu tersimpan persoalan yang lebih besar tentang budaya berdiam diri terhadap isu yang menyakitkan.

Persoalan tersebut menjadi antara tema yang diketengahkan dalam Resonansi arahan Qawiem Hamizan, salah satu daripada tiga pementasan di bawah projek Spirit Beyond Silence atau “suara melangkaui keheningan” yang dipersembahkan menerusi Teater dalam Pendidikan (TIE), Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Melalui tiga pementasan iaitu Rumah Tumpang arahan Azri Ali, Di Sebalik Pintu Papan arahan Madzlan Abet dan Resonansi arahan Qawiem Hamizan, penonton dibawa menelusuri kisah berbeza yang berpunca daripada satu realiti yang sama iaitu bagaimana masyarakat sering memilih untuk diam dalam situasi yang menyakitkan.

Rumah Tumpang mengangkat kisah seorang kanak-kanak yang dihantar ke rumah anak yatim selepas keluarganya berpecah akibat keganasan rumah tangga dan konflik keluarga, sekali gus memperlihatkan kesan trauma yang berpanjangan terhadap generasi muda.

Di Sebalik Pintu Papan pula membawa penonton ke sebuah kawasan setinggan yang menempatkan beberapa isi rumah dengan kisah tersendiri, termasuk perkahwinan paksa, penyalahgunaan dadah, poligami yang retak dan hubungan yang tidak seimbang.

Naratifnya disatukan melalui tiga watak janda yang bertindak sebagai suara pemerhati, mentafsir kehidupan sekeliling tanpa benar-benar terlibat secara langsung.

Sementara itu, Resonansi menyentuh tekanan sosial terhadap wanita, termasuk jangkaan masyarakat, keperluan untuk diterima serta konflik antara pilihan peribadi dengan pandangan orang sekeliling.

Dalam salah satu lapisan naratifnya, keputusan untuk memilih pasangan yang dianggap “baik” tidak semestinya menjamin keselamatan, sebaliknya boleh menjadi permulaan kepada konflik yang lebih senyap dan tidak disedari.

Walaupun berbeza latar dan pendekatan, ketiga-tiga naskhah ini bertemu pada satu titik yang sama iaitu bagaimana budaya diam membentuk ruang yang panjang sebelum sesuatu isu benar-benar diakui.

“Dalam konteks ini, teater berfungsi sebagai cerminan sosial yang mengangkat realiti yang sering berlaku di ruang rumah dan komuniti, tetapi jarang dibincangkan secara terbuka,” kata Qawiem.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Sarawak selepas pementasan projek teater Spirit Beyond Silence di Panggung Eksperimen, FSGK, Unimas, semalam.

Menurutnya, teater bukan sekadar medium hiburan atau penceritaan, tetapi turut berperanan sebagai ruang refleksi terhadap kehidupan yang sering dianggap biasa dalam masyarakat.

Seperti yang tergambar dalam keseluruhan projek tersebut, diam bukan sentiasa bermaksud reda. Ia boleh menjadi kebiasaan sosial yang diwarisi dan berulang tanpa disedari dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Projek Spirit Beyond Silence merupakan sebahagian daripada pendekatan Teater dalam Pendidikan (TIE) yang melibatkan pelajar tahun satu dan tahun dua kursus Drama dan Teater dalam proses pembelajaran berasaskan pementasan.

Pementasan tersebut turut dilaksanakan menerusi kerjasama UNIMASTAGE bersama Persatuan Wanita untuk Wanita Sarawak (SWWS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memperkukuh pemahaman terhadap realiti isu sosial yang diketengahkan di atas pentas.

Oleh Adele Rissa

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Limitasi dalam seni, antara realisme dan tanggungjawab di pentas ‘Resonansi’
Next: Pelakon ‘Breaking Bad’ Giancarlo Esposito peluk Islam di Arab Saudi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.