KUALA LUMPUR: Naskhah teater eksperimental Rumah Tumpang mencipta detik penting apabila dipentaskan buat kali pertama di peringkat nasional menerusi Festival Tanda. Temu. Tamu di Kampus Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), di sini, baru-baru ini.
Selepas mengetengahkan isu tekanan sosial dan konflik emosi wanita menerusi naskhah Resonansi dalam projek Spirit Beyond Silence di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), pengarah teater Muhammad Qawiem Hamizan kini meneroka sisi berbeza isu sosial menerusi Rumah Tumpang.
Ketika dihubungi Utusan Sarawak, Qawiem berkata, dalam pementasan kali ini, beliau bukan sahaja bertanggungjawab mengarahkan karya berkenaan, malah turut terlibat secara langsung dalam menguruskan keseluruhan proses produksi sehingga dipersembahkan di pentas nasional.
“Rumah Tumpang mengisahkan Siti, seorang kanak-kanak yang terperangkap antara harapan, kehilangan dan kerinduan mendalam terhadap kasih sayang serta kehangatan sebuah keluarga.
“Menerusi perjalanan hidup Siti, pementasan berkenaan meneroka kesan berpanjangan keganasan rumah tangga dan persoalan tentang kasih sayang yang tidak diluahkan, yang akhirnya boleh meninggalkan penyesalan berpanjangan,” katanya berkongsi sedikit mengenai naskah tersebut.
Pementasan itu dijayakan menerusi kerjasama Semarak Kreatif Sdn. Bhd. dan UNIMASTAGE, dengan penglibatan lapan pelakon serta pasukan produksi seramai enam orang.
Festival Tanda. Temu. Tamu yang melabuhkan tirainya pada Ahad menghimpunkan penggiat seni persembahan dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Brunei.
Mengangkat tema ‘Tanda. Temu. Tamu’, festival berkenaan menjadi platform pertukaran budaya dan kolaborasi serantau menerusi pelbagai program, termasuk bengkel teater, sesi karya dalam proses, penceritaan, diskusi serta persembahan berskala besar.
Festival itu turut membuka ruang kepada penerokaan teater kontemporari dan pembangunan ekosistem seni persembahan yang lebih dinamik di rantau ini.
Festival Tanda. Temu. Tamu berlangsung pada 16 sehingga 19 Julai, dari 9.00 pagi hingga 10.00 malam di Kampus ASWARA, Jalan Tun Ismail, di sini, sebelum melabuhkan tirainya semalam.
Oleh Adele Rissa





