


RENCANA ini tidak ditulis untuk menghentam atau menyalahkan mana-mana pihak.
Namun, hakikatnya agensi dan petugas di lapangan juga telah banyak berkorban masa, tenaga dan risiko demi menjaga keselamatan kita semua daripada fenomena ancaman buaya.
Ia bertujuan mengajak kita menilai semula realiti, dasar dan sistem agar tragedi seperti ini tidak berulang, supaya tindakan dapat terus diperkukuh dengan sokongan masyarakat.
Semalam, Sungai Kelai menjadi saksi kepada satu lagi episod tragis kehilangan nyawa akibat serangan buaya.
Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, sedang menjala ikan bersama empat rakannya.
Mangsa disentap oleh buaya ke dasar sungai tanpa sempat diselamatkan oleh kawan-kawanya.
Tragedi ini mengulangi trauma kolektif yang telah menghantui penduduk pesisir sungai sejak sekian lama.
Banyak keluarga telah melalui episod kehilangan saudara mara, ada yang hanya anggota tubuh dijumpai, ada yang tinggal nama dan kenangan.
Dalam apa jua tragedi, air mata dan rasa marah itu manusiawi.
Namun rencana ini memilih untuk berpijak pada analisis, bukan luahan emosi, kerana nyawa yang telah hilang menuntut pemikiran dasar yang lebih matang.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab, sendiri menyuarakan keperluan agar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) mengambil langkah sewajarnya untuk mengawal populasi buaya yang semakin mengancam keselamatan.

Suara itu tidak muncul dalam kekosongan. Ia lahir dari realiti bahawa konflik manusia–buaya kini bukan lagi isu terasing di kampung, tetapi isu strategik peringkat negeri iaitu isu keselamatan sosial.
Pada 16 Julai dan 29 Julai lalu, saya telah menemu bual Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran berkenaan konflik manusia-buaya menerusi aplikasi WhatsApp.
Dalam temu bual tersebut, satu fakta asas terbentang iaitu Sarawak hanya mempunyai 20 anggota pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) SFC untuk mengendalikan buaya di seluruh negeri.
Dengan 4,500 kilometer (km) lembangan sungai dan populasi buaya dianggarkan 25,000 ekor, pertanyaan akademik yang timbul ialah adakah kapasiti operasi ini berskala mencukupi untuk realiti semasa?
SFC berusaha menambah keupayaan melalui latihan kepada staf taman negara dan ranger.
Pelan desentralisasi respons ini penting, terutama di kawasan luar bandar yang jauh dari ibu pejabat.
Namun persoalan besar yang perlu dijawab bersama adalah bagaimana memastikan setiap kampung yang bergantung sepenuhnya kepada sungai dapat menerima intervensi bukan hanya ketika tragedi telah berlaku?
Menurut Abang Arabi, untuk tempoh 2020–2024, 166 buaya ditangkap atau dilupuskan, 791 telur dipindahkan dan 280 buaya ditangkap oleh pemburu berlesen.
Jika dilihat melalui lensa analisis dasar, angka ini mewakili hanya kurang 1.5 peratus daripada populasi keseluruhan.
Ia membuktikan usaha ada, tetapi juga menunjukkan skala cabaran terlalu besar untuk dipikul pihak SFC, sedangkan aduan konflik meningkat iaitu 305 kes (2023) kepada 350 kes (2024).
Dalam antropologi dan kajian komuniti luar bandar, sungai ialah ‘ruang hidup’ iaitu sumber air, makanan, ekonomi dan identiti budaya.
Maka setiap insiden serangan buaya bukan sekadar statistik kematian, tetapi gangguan kepada sistem sosial dan psikologi masyarakat.
Seorang ibu kini takut membenarkan anaknya mandi sungai akan mengubah generasi akan datang, bukan kerana dasar, tetapi kerana trauma.
Menurut Abang Arabi pada 16 Julai lalu, aplikasi Sarawak Croc Watch, dilancarkan pada September 2024 telah menerima lebih 160 laporan, menunjukkan potensi data dan digitalisasi dalam pengurusan konflik.
Namun kejayaannya bergantung pada akses internet, literasi digital dan penyertaan komuniti luar bandar iaitu persoalan penting dalam penilaian dasar.
Tanpa kempen kesedaran dan latihan berterusan, aplikasi hanya akan hidup di bandar, bukan di kampung yang memerlukan perlindungan kerana ada kawasan luar bandar yang kurang akses internet, malah ada kawasan yang tiada akses internet.
Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 masih menjadi rangka utama perundangan walaupun konflik kini berubah sifatnya.

Justeru, Crocodile Rules 2025 yang sedang dibangunkan bersama perunding Australia bakal menjadi titik perubahan, termasuk penubuhan Crocodile Management Trust Fund.
Daripada perspektif akauntabiliti dasar, pelaksanaan tabung amanah ini hanya efektif jika ia benar-benar sampai kepada komuniti, bukan kekal dalam kerangka dokumen.
SFC sedang meneroka santuari buaya, ekopelancongan, penternakan dan eksport kulit buaya yang merupakan satu model ekonomi telah terbukti berjaya di Australia.
Namun secara sosiologi, tidak semua komuniti mampu menerima idea bahawa haiwan yang menyebabkan kehilangan ahli keluarga boleh menjadi sumber ekonomi.
Untuk menjadikan model ini realistik, ia memerlukan peralihan naratif masyarakat yang hanya boleh berlaku apabila keselamatan telah dipulihkan.
Rencana temu bual saya yang tular 16 Julai lepas mencetuskan desakan agar lesen pemburuan dibuka lebih luas.
SFC mendedahkan bahawa sehingga Julai 2025, sebanyak 69 permohonan lesen diterima, termasuk 43 baharu.
Dalam kajian dasar, permohonan lesen bukan sekadar dokumen, ia indikator ketakutan akar umbi.
Namun SFC masih mengekalkan kawalan iaitu prinsip ‘first come, first served’ demi memastikan pemburuan tidak melepasi kuota dan tidak menjejaskan kelestarian.
Dasar ini memerlukan penilaian berkala, adakah ia cukup melindungi penduduk, atau ia terlalu perlahan untuk menyeimbangkan risiko?
Dalam temu bual bersama Abang Arabi pada 16 Julai, saya bertanya adakah SFC mempunyai anggaran kewangan atau bajet tahunan khusus untuk operasi menangani konflik manusia-buaya.
Beliau nendedahkan, purata RM250,000 setahun diperuntukkan bagi pengurusan konflik manusia–buaya dan dijangka terus meningkat sejajar dengan trend peningkatan aduan dan laporan diterima setiap tahun.
Angka ini, dilihat melalui kacamata ekonomi negeri ialah belanja mikro untuk isu makro.
Pembiayaan masa depan perlu bertukar menjadi model pelaburan bukan perbelanjaan jika kita mahu melihat impak ketara.
Ketika rencana ini ditulis, keluarga mangsa di Sungai Kelai masih menunggu jasad dan menunggu kepastian yang masih samar.
Penduduk kampung masih perlu meggunakan air sungai yang sama, nelayan kecil masih turun ke tepi sungai sebelum subuh kerana ekonomi keluarga tidak menunggu dasar baharu untuk diluluskan.
SFC sedang bergerak, latihan, pelan pengurusan, undang-undang baharu, petugas khas, teknologi dan betul semua ini berlaku.
Namun dasar hanya bermakna apabila ia mengubah realiti di kampung bukan hanya membentuk tajuk utama berita di media sosial dan dada akhbar.
Kita tidak boleh menuntut semua beban dipikul oleh SFC, ini tanggungjawab bersama pemimpin, agensi, komuniti dan masyarakat sivil.
Rencana ini ditulis bukan untuk menghakimi, tetapi untuk mengajak kita bertanya soalan yang tidak selesa, iaitu adakah sistem kita hari ini mampu menghalang tragedi esok?
Jika jawapannya belum pasti, maka kerja kita belum selesai.
Sungai Kelai dan sungai-sungai lain di negeri ini menanti sebuah masa depan di mana airnya mengalir tanpa membawa ketakutan.
Itu masa depan yang harus kita bina bersama dengan ilmu, dasar, empati dan keberanian.
Selagi perubahan itu belum tiba, sungai kekal sebagai garis di mana hidup dan mati kini terlalu dekat.
Oleh Earl Anek