
SIBU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu menasihati orang awam agar tidak melakukan pembakaran terbuka susulan cuaca panas dan kering yang melanda sebahagian besar kawasan tengah Sarawak ketika ini.

Ketua Zon JBPM Sibu, Andy Alie berkata lebih 50 tompok panas telah dikesan di bawah kawasan jagaan 12 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) zon itu, termasuk BBP Sungai Merah, Sibu Sentral, Sibu Jaya, Kanowit, Selangau, Mukah, Sarikei, Bintangor, Song dan Tanjung Manis.
“Cuaca di Sibu kini sangat panas dan kering dengan suhu harian mencecah maksimum 34 darjah Celsius.
“Kelembapan rendah menyebabkan keadaan persekitaran menjadi mudah terbakar, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran terbuka yang sukar dikawal,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Menurut beliau, JBPM telah melaksanakan pelbagai langkah pemantauan dan pencegahan termasuk rondaan berterusan di kawasan tompok panas serta penglibatan pasukan bomba sukarela dan komuniti dalam usaha memberi kesedaran serta bertindak segera sekiranya berlaku kebakaran di kawasan hutan, ladang atau kebun.
“Pihak kami juga bekerjasama dengan agensi seperti Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi melakukan pemantauan udara terutama di kawasan gambut dan belukar yang kering,” katanya.
Selain itu, JBPM juga mengekalkan tahap kesiapsiagaan tinggi dari segi peralatan logistik bagi tujuan pemadaman sekiranya berlaku insiden tidak diingini.
Mengulas kawasan berisiko tinggi, Andy berkata antara lokasi yang dikenal pasti ialah tanah gambut, tapak pelupusan sampah, kawasan belukar serta ladang dan kebun, khususnya di sekitar Sibu, Sarikei, Mukah dan Tanjung Manis.
Walaupun tiada peningkatan ketara dalam kes kebakaran setakat ini, beliau menegaskan pentingnya orang awam mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak memandang ringan situasi cuaca semasa.
“Saya menggesa orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka, terutamanya di kawasan mudah terbakar. Sebarang kejadian kebakaran kecil atau aktiviti pembakaran terbuka hendaklah segera dilaporkan melalui talian kecemasan 999 atau ke balai bomba terdekat,” tegasnya.
Beliau turut menasihatkan penduduk agar mengehadkan aktiviti luar, memastikan pengambilan air mencukupi dan memakai pakaian pelindung bagi mengelakkan risiko kesihatan akibat suhu tinggi.
“Sentiasa peka dengan perkembangan semasa melalui media sosial rasmi dan saluran berita tempatan agar tindakan pantas boleh diambil jika berlaku kecemasan,” katanya.
Oleh Tarani Lanting